SEBAGAI anak watan yang membesar di Petaling Street, Kuala Lumpur, penyertaan Lim Meng Kok dalam pembuatan kostum singa sememangnya sudah dijangka.
Ini kerana, sudah menjadi kebiasaan bagi anak Cina pada pada era 1950-an di kawasan tersebut untuk menyertai kumpulan tarian singa.
Pada ketika itu, kostum singa masih lagi diimport dari China kerana masyarakat Cina di Tanah Melayu tidak memiliki kelengkapan membuat kostum tersebut.
Oleh kerana proses mengimport kostum itu memakan kos tinggi, maka guru tarian singa dari China yang bermastautin di Chinatown mula mencipta inovasi terhadap kraf tangan tersebut.
Menurut Meng Kok, hatinya mula tertarik apabila melihat hasil tangan guru yang dikenalinya sekitar 1960-an itu.
“Saya pernah bekerja di sebuah syarikat aiskrim di Bangsar. Selepas kerja, saya akan membantu guru memperbaiki kepala singa di rumah.
“Dari situ, saya mula mempelajari cara-cara pembuatan kostum penuh singa daripada sifu saya.
“Permintaan terhadap kostum singa pada ketika itu semakin memuncak kerana ia lebih murah daripada yang diimport.
“Oleh itu, saya ambil keputusan untuk menceburi perniagaan ini sepenuh masa pada era 1970-an,” katanya kepada K2.
Lelaki berusia 76 tahun itu ditemui penulis di bengkelnya yang terletak di sebuah lot kedai di Taman Perindustrian Kip.
Untuk pengetahuan, rangka kepala singa Malaysia dibuat dengan menggunakan aluminium berbentuk empat segi dan separa bulat sebagai asas. Kemudian, rotan akan dilenturkan mengikut bentuk yang dikehendaki dan dijadikan bingkai kepala singa tersebut.
Seterusnya, kain kapas dilekatkan pada bingkai sebelum ditambah kertas buluh di atasnya.
Setelah gam kering, kepala singa itu akan ditambah kertas poster dan dilukis dengan cat berkilat mengikut warna permintaan pelanggan.
Sentuhan terakhir pada kraf tersebut adalah dengan menambah perhiasan, manik dan bulu di atas kepala singa.
Sementara itu, gelang getah dan tali juga dipasang di dalam kepala singa untuk membolehkan kelopak mata berkedip dan telinga bergoyang.
Untuk menambahkan lagi sentuhan moden, pelanggan boleh meletakkan lampu LED pada kepala singa.
Tambah lelaki dikenali sebagai Master Lim itu, pembuatan tersebut berbeza berbanding di China.
“Dahulu, ketika kostum singa diimport dari China, keseluruhan bahagian kepalanya diperbuat daripada buluh.
“Selain itu, bahagian atas kepala singa juga lebih rumit dan memiliki banyak perincian dan hiasan di atasnya,” jelasnya.
Namun, teknik pembuatan asal itu seakan-akan hilang setelah China mengalami Revolusi Kebudayaan pada tahun 1966 hingga 1976.
Ini bermaksud, sebarang perkara berkaitan budaya termasuk tarian singa diharamkan di negara tersebut.

Dengan itu, kostum yang diinovasi di Malaysia dan Singapura menjadi pilihan ramai kerana ia diperbuat daripada material lebih ringan berbanding asal.
Justeru, tidak hairanlah apabila Meng Kok menerima tempahan daripada pelbagai negara termasuk dari Amerika Syarikat, Perancis, Afrika dan Australia.
Kongsinya, terdapat enam saiz bagi kostum singa yang dibuat mengikut kesesuaian pemakai.
“Bagi tempahan tempatan, biasanya pelanggan akan memilih saiz kepala singa nombor tiga dengan berat 2 kilogram (kg).
“Manakala bagi negara-negara seperti Afrika, mereka sering kali memilih saiz paling besar iaitu saiz nombor satu dengan berat 7 kg.
“Ini kerana, saiz badan mereka berbeza dengan masyarakat Asia,” katanya yang memerlukan masa sekitar tujuh hari untuk menyiapkan satu kepala singa.
Meng Kong menghasilkan dua gaya kepala singa selatan iaitu ‘hok san’ (kepala singa dengan mulut lurus dan tanduk melengkung di kepala) dan ‘fut san’ (mulut melengkung dan tanduk tajam).
Kedua-duanya bentuk kepala singa tersebut berasal dari Guangzhou, China.
Untuk rekod, Meng Kong dianugerahkan gelaran Master Tarian Singa Malaysia 2022 oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Persekutuan Tarian Singa Malaysia.
Sementara itu, di bahagian kostum badan singa pula, seorang wanita berusia 41 tahun kelihatan tekun menjahit bulu yang ditampal pada seluar kaki singa.
Memiliki pengalaman hampir sembilan tahun dalam bidang berkenaan, Phoi Yee mampu menyiapkan kostum badan dan kaki singa dalam masa sehari.
Bagaimanapun, katanya, permintaan yang tidak putus-putus menyebabkan dia sentiasa sibuk menyiapkan pesanan pelanggan.
“Ramai orang ingat kami hanya menerima permintaan pada Tahun Baru Cina. Sebenarnya, permintaan pelanggan konsisten sepanjang tahun.
“Kebanyakan pelanggan mahukan kain dengan warna baharu untuk setiap acara berbeza seperti majlis perkahwinan, pembukaan kedai atau Tahun Baru Cina.
“Dalam setahun, kami menerima purata 200 tempahan dari dalam dan luar negara,” jelasnya.
Secara keseluruhan, harga set lengkap kostum singa adalah di antara RM3,500 sehingga RM8,888.
Jelas Phoi Yee, pelanggan boleh memilih jenis fabrik digunakan dalam pembuatan badan dan kaki singa.
Pilihan fabrik bergantung kepada faktor seperti warna, tekstur, ketahanan dan simbolik budaya yang mahu ditampilkan.
Bagi saiz badan singa yang standard, kain sepanjang 2.3 meter (m) dan lebar 1.4 m diperlukan.
Manakala, bagi saiz badan naga pula ia memerlukan kain sepanjang 18 m.
Tambahnya, secara tradisional, kostum singa dibuat dengan menggunakan lima warna iaitu kuning, merah, hitam, putih dan hijau.
“Warna tradisional itu memiliki perkaitan dengan lima elemen dalam falsafah kuno Cina iaitu tanah, kayu, logam, api dan air.
“Zaman sekarang ini, pelanggan bebas memilih sebarang rona yang mereka mahu dan kami akan siapkannya,” tuturnya.














