fbpx

30 koperasi sekolah disasar capai perolehan lebih RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina bersama Abdul Fattah menyempurnakan majlis Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS), Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) dan Ikon Muda Koperator Sekolah 2023 Peringkat Kebangsaan di Summit Hotel.- Foto Saddam Yusoff/KOSMO!

SUBANG – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan 30 koperasi sekolah mampu mencapai perolehan melebihi RM1 juta sehingga akhir tahun ini.

Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, ketika ini terdapat 26 koperasi sekolah telah mencapai angka tersebut.

Malah katanya, sebuah koperasi sekolah iaitu Koperasi Kolej Vokasional (KV) Tanah Merah Berhad juga telah mencatat perolehan RM2 juta sehingga tahun kewangan 2023.

“Sekarang ini sudah ada 26 buah koperasi sekolah yang perolehannya melebihi RM1 juta. Ini untuk akaun 2023 dan saya percaya pada tahun ini mereka mampu membuat perolehan kira-kira RM1.5 juta.

“Sekurang-kurangnya lima buah lagi sekolah yang mencapai angka itu pada tahun ini. Saya yakin tahun 2024 ini akan capai 30 buah koperasi sekolah memperolehi pendapatan melebihi RM1 juta,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS), Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) Dan Ikon Koperator Muda 2023 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di sini malam ini.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut adalah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan Koperasi KV Tanah Merah Berhad menjadi bukti kukuh bahawa koperasi sekolah mampu menguruskan perniagaan berimpak tinggi dalam meningkatkan perolehan dan membawa keuntungan kepada anggotanya.

“Perolehan memberangsangkan oleh koperasi sekolah ini turut menerima pengiktirafan oleh Kementerian Pendidikan sebagai aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

“Sekali gus membantu sekolah menguruskan aktiviti ko-kurikulum serta pembangunan sekolah khususnya melalui tabung khas yang diwujudkan oleh koperasi,” katanya.

Sehingga 30 Jun 2023, bilangan koperasi sekolah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) adalah sebanyak 2,485 buah dengan keanggotaan seramai 2,047,124 orang.

Syer atau yuran keanggotaan berjumlah RM29.79 juta telah berjaya menyumbang kepada pemilikan aset bernilai RM440.12 juta dan perolehan sehingga 31 Disember 2022 sebanyak RM298.76 juta.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI