“MINTA Nyawa.” Demikian antara seloroh penyanyi Liza Hanim selepas menyanyikan deretan lagu bernada tinggi dalam Liza Hanim 27 Years Journey in Concert di Zepp Kuala Lumpur malam kelmarin.
Memahami keadaannya yang kurang sihat, semua yang memenuhi konsert itu tidak putus memberikan semangat kepada Liza sehingga acara selesai. Terbukti, figura ternama ini bukan calang-calang.
Meski demam dan sakit dada sejak lebih dua minggu lalu, dia komited memastikan konsert idamannya itu berjalan dengan jayanya.
Tidak ada satu lagu pun digugurkan, sebaliknya Liza nekad mengalunkan 30 lagu, bahkan tambahan dua lagu bonus hadiah buat pengikut setia.
Itulah Liza Hanim yang saya kenal lebih dua dekad lalu. Tidak mudah mengalah dan sentiasa melakukan yang terbaik dalam hidup dan kariernya.
Berbalik kepada konsert solo sulungnya selepas 27 tahun bertapak dalam industri muzik tanah air, meski ada gangguan suara, Liza berjaya mengalunkan hampir kesemua lagu bernada tinggi dengan cemerlang.
Kehebatannya itu diperakui penyanyi terkenal yang hadir menyaksikan persembannya termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Jaclyn Victor serta ramai lagi.
Justeru, sewajarnya Liza jadi penanda aras atau contoh buat barisan artis yang bakal menjayakan konsert sepanjang tahun ini. 2024 bakal melakar memori cukup manis buat pencinta muzik tempatan apabila deretan artis otai tersohor bakal beraksi dalam konsert berskala besar.
Usai konsert Liza, penyanyi terkenal Anuar Zain pula bakal beraksi ‘menyihir’ pengikut setianya menerusi Anuar Zain 40 Exclusive Up Close And Personal di JioSpace, Petaling Jaya sempena empat dekad kembara seni dan ulang tahun kelahirannya.
Tidak cukup dengan itu, ramai teruja menantikan penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza beraksi dalam Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Mac ini.
Tahniah bagi yang berjaya mendapatkan tiket, untuk ribuan peminat yang gagal menonton persembahan mega bintang pujaan ramai ini, usah gusar kerana seperti yang dijanjikan Siti Nurhaliza, akan ada acara berskala besar selepas ini.
Pada 25 Mei nanti, orang ramai dapat menyaksikan diva Ziana Zain beraksi di Ziana Zain Konsert 2024 Kuala Lumpur yang bakal menggegarkan pentas Mega Star Arena KL, pukul 8.30.
Semestinya konsert ini antara yang paling dinantikan peminat tahun ini. Mei juga bakal melakar memori terindah buat pemuja penyanyi jelita Fauziah Latiff yang khabarnya rancak melakukan persediaan untuk beraksi di pentas mega.
Selepas 25 tahun memahat nama sebagai penyanyi, Siti Nordiana juga mengambil langkah berani merealisasikan impiannya mengadakan konsert yang diberi nama Memori Berkasih Siti
Nordiana 25 Tahun di Zepp Kuala Lumpur pada 11 Mei depan. Berbanding nama-nama di atas, dia lebih muda tetapi pembabitannya dalam industri juga lebih dua dekad dan ramai membesar dengan lagu-lagunya. Tidak hairanlah mengapa tiket konsert penyanyi yang mesra disapa Nana ini laris bak pisang goreng panas.
Semestinya ramai lagi yang bakal tampil konsert solo mereka pada tahun ini, kita nantikan pengumumannya.














