fbpx

Dua rakan lepas, bebas pengedaran tipu sarung tangan getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan dua rakan daripada pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung pengedaran 180,000 kotak sarung tangan getah membabitkan kerugian lebih RM1 juta tiga tahun lepas.

Hakim Mohd. Kafli Che Ali membuat keputusan itu terhadap Wan Ahmad Farhaan Wan Kia Salleh Nor, 32, dan Mohd Fami Sharin, 50, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mohd. Kafli berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh melakukan penipuan yang menyebabkan mangsa telah diperdayakan.

“Mahkamah mendapati kes ini lebih kepada kes kemungkiran kontrak, maka atas alasan tersebut kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dihadapi mereka tanpa dipanggil membela diri serta wang jamin RM30,000 setiap seorang dikembalikan semula kepada penjamin,” kata hakim itu.

Wan Ahmad Farhaan dan Mohd Fami didakwa menipu Mohamad Faiz Yaacob, 35, dan Saleh Nabil Salah Mahmoud Abdalkader Alarabi, yang mewakili syarikat Yummylooks Sdn Bhd bahawa kedua-dua tertuduh akan mengedarkan 180,000 kotak produk itu sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM1,001,650 ke akaun bank atas nama Syarikat Tuntas Abadi Sdn Bhd milik tertuduh pertama (Wan Ahmad Farhaan).

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Damansara, Taman Tun Dr. Ismail di sini pada 17 Mac 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub manakala peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris mewakili kedua-dua tertuduh.

Seramai lima saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI