PETANG itu, Najwa Zulkiflee, 23, tidak sabar-sabar untuk mengunjungi sebuah studio di Cheras, Selangor bagi aktiviti menghasilkan minyak wangi sendiri.
Selalunya aktiviti sebegini menjadi aktiviti menarik yang ditawarkan di luar negara, tetapi kini ada juga pihak di Malaysia yang menawarkannya.
Setibanya di lokasi tersebut yang dinamakan Leira Studio, Najwa dan teman lelakinya diberi penerangan oleh tenaga pengajar yang juga merupakan pemilik studio tersebut tentang proses membancuh minyak wangi sendiri.
Najwa yang amat menggemari bau-bauan manis daripada buah-buahan kemudiannya memilih bauan sedemikian untuk minyak wangi yang dihasilkannya dan mengakui amat berpuas hati kerana memiliki minyak wangi peribadi dengan haruman unik.
Kongsi Najwa, dia mendapat tahu tentang studio menawarkan bengkel membuat minyak wangi sendiri itu menerusi carian Internet.
“Saya dan teman lelaki mahu mencari aktiviti baharu yang boleh dicuba. Memandangkan kami berdua amat menyukai minyak wangi, maka kami bersetuju untuk menyertai bengkel membuat minyak wangi sendiri.
“Bagi saya, aktiviti ini cukup menarik, malah ia juga membolehkan kami lebih mengenali antara satu sama lain kerana minyak wangi atau haruman ini adalah sesuatu yang melambangkan personaliti seseorang.
“Ia bukan sahaja sesuai dilakukan bersama pasangan, tetapi juga boleh dibuat bersama rakan-rakan dan juga seorang diri,” kongsinya kepada K2.
Minat yang mendalam terhadap produk berasaskan haruman mendorong seorang anak muda kelahiran Seremban, Negeri Sembilan untuk menubuhkan studio atau bengkel membancuh minyak wanginya sendiri.
Ariel Ho, 26, berkata dia menubuhkan Leira Studio pada Julai tahun lalu selepas cukup tertarik dengan konsep membancuh minyak wangi sendiri yang cukup popular di Korea Selatan.
Bekas penuntut jurusan perniagaan antarabangsa dari sebuah universiti swasta di Nilai itu berkata, dia menyedari dirinya cukup obses dengan barangan berasaskan haruman semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
“Memandangkan semasa pandemik kita semua terperangkap di rumah, maka ketika itu saya menyedari bahawa saya amat menyukai produk berasaskan haruman seperti lilin wangi dan juga penyegar yang digunakan di rumah.
“Saya kemudian mula mencari kelas membuat minyak wangi sendiri di Malaysia, namun saya mendapati tidak banyak kelas membuat minyak wangi di sini dan yang ada pula tidak begitu sesuai dengan keinginan saya.
“Berdasarkan carian internet, saya mendapat tahu tentang kelas membuat minyak wangi sendiri di Korea Selatan dan amat berminat untuk menyertainya,” katanya kepada K2.

Kelas yang dimaksudkan adalah satu kursus intensif berdurasi enam hari yang membolehkan peserta belajar jenis haruman dan resipi campurannya bagi menghasilkan minyak wangi sendiri.
Ia bagaimanapun adalah lebih kepada hobi dan bukan bersifat perniagaan.
Begitupun, memandangkan model perniagaan sedemikian masih belum popular di Malaysia, maka Ariel terfikir untuk menjadikan kelas tersebut sebagai satu perniagaan dan tidak menyangka ia mendapat sambutan yang baik.
“Pada mulanya, saya mengambil kursus intensif itu di Korea Selatan hanya sebagai hobi kerana amat tertarik dengan penghasilan produk berasaskan wangian.
“Namun, sekembalinya ke Malaysia, saya menyedari bahawa saya boleh menjadikan bengkel ini sebagai sumber pendapatan.
“Setakat ini, permintaan terhadap bengkel ini cukup baik memandangkan orang kita suka mencuba sesuatu yang baharu.
“Selain itu, bengkel ini juga membolehkan pelanggan bereksperimen sendiri dengan jenis wangian dan belajar banyak perkara tentang penghasilan minyak wangi,” jelasnya.
Tambah Ariel, terdapat 80 jenis wangian disediakan di studionya yang terdiri daripada haruman berasaskan buahan, bungaan dan kayu-kayuan.

Sebelum memulakan kelas selama dua jam itu, Ariel akan mengajar peserta untuk memilih jenis haruman daripada tiga kategori iaitu haruman base atau asas, haruman middle dan juga haruman top.
Formula bagi setiap minyak wangi juga sudah disediakan, namun peserta boleh mengubahsuainya mengikut cita rasa.
“Sebagai contoh, sekiranya peserta mahukan wangian base note pada minyak wangi mereka itu lebih tinggi daripada formula yang disediakan, mereka boleh menambah peratusannya mengikut cita rasa,” katanya.
Selepas berpuas hati dengan kombinasi bau yang dipilih, peserta akan mula memasukkan kesemua pati haruman itu tadi ke dalam botol kaca yang disediakan.
Buat masa ini, Ariel hanya menyediakan dua saiz minyak wangi iaitu 30 mililiter (ml) pada harga RM158 dan 50 ml pada harga RM198. Harga itu meliputi bayaran kelas bengkel.
Selepas siap dibancuh, minyak wangi itu boleh dilabel dan sedia dibawa pulang.
“Sebaik siap, ia sudah sedia dipakai namun saya akan menasihati peserta untuk menyimpannya terlebih dahulu selama dua minggu bagi menjadikan haruman tersebut lebih ‘matang’ sebelum sedia digunakan,” tuturnya.
Untuk makluman, studio itu hanya menawarkan aktiviti membuat minyak wangi dan tidak mengeluarkan produk-produk minyak wangi untuk dijual.
Ariel mengakui minyak wangi sememangnya mempunyai tarikannya yang tersendiri, malah dikaitkan dengan keperibadian seseorang.
Justeru, dia teruja untuk mengajar orang ramai yang turut berkongsi minat sama dengannya untuk menghasilkan minyak wangi yang unik dan tidak boleh dibeli di pasaran.
“Wangian yang ada di pasaran sememangnya berkualiti tinggi dan saya sendiri masih beli wangian sedia ada di pasaran untuk kegunaan harian. Namun, apabila anda hasilkan dan bancuh minyak wangi sendiri, anda akan belajar banyak perkara seperti campuran notes yang digunakan dan kesesuaiannya dengan notes-notes lain.
“Selain itu, ia menjadi haruman unik anda kerana hanya anda saja yang memakai wangian tersebut. Malah, ada peserta beritahu seronok apabila ada yang memuji wangian mereka namun tidak boleh membelinya di mana-mana kerana ia merupakan ramuan tersendiri yang bersifat cukup peribadi,” katanya.














