CYBERJAYA – Kira-kira 40,000 kilometer (km) paip jenis Asbestos Cement (AC) yang digunakan operator perkhidmatan air di Semenanjung dan Labuan dilaporkan usang, sekali gus menjadi antara punca berlakunya masalah gangguan air di Malaysia.
Jumlah itu melibatkan sebanyak 29.3 peratus daripada 135,975 km paip yang terdapat di Semenanjung dan Labuan yang mana paip-paip berkenaan berusia lebih 40 tahun dan perlu diganti segera.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, Johor merekodkan jumlah paip AC usang terpanjang iaitu sekitar 6,415 km, diikuti Selangor (6,198 km) dan Kedah (6,128 km).
Katanya, situasi tersebut berlaku memandangkan Johor memiliki jumlah paip hampir 24,001 km dan merupakan yang kedua terpanjang selepas Selangor.
“Bagi Selangor pula, negeri itu memiliki jumlah paip sepanjang 30,422 km di mana 6,198 km atau 20.4 peratus daripadanya terdiri daripada paip AC.
“Berdasarkan perancangan semasa, Selangor memerlukan lebih kurang 20 tahun untuk penggantian paip AC dengan anggaran penggantian paip AC dalam setahun adalah sepanjang 300 km.
“Bagaimanapun, berdasarkan rekod sedia ada, projek penggantian paip AC yang dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun hanyalah sekitar 150-180 km,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Ibu Pejabat SPAN di sini baru-baru ini.
Katanya, penggantian paip AC hanya boleh dibuat pada jarak tersebut berikutan faktor kewangan, selain kebanyakan paip utama berada di bawah tanah dan kekangan lain seperti untuk mengelak kesesakan melampau.
Untuk rekod, pada November tahun lalu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan peruntukan sebanyak RM250 juta bagi tahun 2024 untuk menggantikan kira-kira 138 km saluran paip AC yang sudah usang di negeri itu.
Kerajaan Melaka pula pada Mei tahun yang sama mengesahkan memerlukan kira-kira RM700 juta untuk mengganti paip usang di seluruh negeri itu melibatkan sepanjang 1,170 km.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, Kelantan menjadi negeri yang mencatatkan peratusan tertinggi bagi penggantian paip AC usang apabila merekodkan sebanyak 57.2 peratus penggantian meskipun negeri itu hanya memiliki paip sepanjang 7,083 km.

“Jumlah paip jenis AC yang masih digunakan dalam sistem bekalan air ialah sebanyak 29.3 peratus daripada jumlah keseluruhan panjang paip dan telah berusia lebih daripada 40 tahun.
“Ia telah melepasi jangka hayat reka bentuk (design life span), seterusnya menyebabkan strukturnya mudah bocor dan pecah.
“Paip-paip AC ini perlu ditukar kepada jenis paip yang lebih baik seperti mild steel, ductile ion dan lain-lain paip bersesuaian yang mempunyai jangka hayat lebih lama iaitu sehingga 50 tahun,” katanya.
Ahmad Faizal memberitahu, isu paip usang menyebabkan masalah kebocoran air dan ia merupakan antara penyumbang utama kepada air tidak terhasil (NRW) yang menjadi masalah utama operator ketika ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan isu penggantian paip AC yang memerlukan kos besar telah memberi kesan kepada pihak-pihak berkaitan.
“Untuk rekod, lebih 70 peratus masalah NRW berpunca daripada kehilangan fizikal seperti kebocoran paip, manakala 20 hingga 25 peratus melibatkan kehilangan komersial seperti kecurian air dan meter tidak tepat.
“Namun, proses penukaran paip AC yang rosak bukanlah perkara mudah kerana melibatkan pelbagai pihak termasuk implikasi kewangan selain perlu dilaksanakan secara terancang,” ujarnya.
Katanya, selain masalah paip usang, operator turut mengalami cabaran kedudukan kewangan berikutan pendapatan yang dikutip daripada hasil tarif air tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasi.
“Dalam kedudukan kewangan operator yang tidak mapan, ada antara mereka tidak mencapai beberapa aspek dalam petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan SPAN.
“Antara ketidakcapaian KPI itu termasuklah aspek rizab margin rendah, kualiti air terawat gagal mematuhi piawaian, kadar NRW tinggi serta kekerapan gangguan bekalan,” jelasnya.
Susulan itu katanya, langkah semakan tarif air yang diumumkan sebelum ini bakal membolehkan operator memperoleh dana diperlukan seterusnya mampu melaksanakan kerja-kerja peningkatan kualiti perkhidmatan.
“Ini kerana, tahap perkhidmatan bekalan air sangat berkait rapat dengan keupayaan kewangan kerana apabila mempunyai dana mencukupi, operator mempunyai keupayaan melaksanakan dan menawarkan servis terbaik.
“Selain itu, semakan tarif juga membolehkan operator membangunkan sistem bekalan air seperti dirancang, seterusnya memastikan keperluan pengguna dipenuhi,” katanya.














