fbpx
NOR ANIDA meriba Noraishah yang menghidap jantung berlubang sejak lahir di Pasir Mas baru-baru ini. – ROHANA MOHD. NAWI

Jual bundle bayar tunggakan bil hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Pasangan suami isteri terpaksa menjual baju terpakai atau bundle di depan rumah di Kampung Atas Pinggir di sini untuk mengumpul wang bagi membayar tunggakan bil pembedahan anak mereka.

Muhd. Ruslam Yassin, 45, dan isteri, Nor Anida Mohd. Arifin, 30, tiada cara lain lagi untuk membayar baki kos pembedahan anak mereka, Noraishah yang berusia 10 bulan selepas menghidap jantung berlubang sejak lahir.

Nor Anida berkata, Noraishah sebelum ini menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kira-kira dua bulan lalu dengan kos RM1,200.

Menurutnya, dia ketika itu hanya mampu menjelaskan bil hospital sebanyak RM500 yang dipinjam daripada ibunya.

“Kami sekeluarga masih belum menjelaskan tunggakan sebanyak RM700 kepada HUSM. Jadi, saya berusaha untuk menjelaskan tunggakan itu dengan menjual baju bundle pada harga RM1 sehelai di depan rumah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Nor Anida memberitahu, dia sangat bersyukur apabila kesihatan Noraishah yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik semakin baik selepas menjalani pembedahan itu.

Ujarnya, dia perlu membawa anaknya itu berulang alik ke Klinik Kesihatan Tendong, di sini untuk mencuci kesan pembedahan yang belum sembuh sepenuhnya.

“Ada bahagian pada anggota badannya bernanah selepas pembedahan. Oleh itu, saya perlu membawanya setiap hari ke klinik untuk mencuci nanah bagi mengelak jangkitan kuman.

“Suami saya menghidap uluran angin dan ada ketikanya dia tidak bekerja kerana sakit dan pendapatannya juga tidak menentu setakat ini. Jadi, kami sekeluarga akan mengharapkan jualan bundle untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nor Anida di talian 011-391 9551 atau terus ke nombor akaun Bank Simpanan Nasional milik­nya, 1100541000246447.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN