JERANTUT – Seorang lelaki membuktikan tanaman anggur boleh hidup dan berbuah lebat dengan iklim Malaysia.
Syed Norhaimi Syed Zin, 60, dari Taman Perumahan Batu Embun di sini menanam 20 jenis anggur dari pelbagai negara di Pusat Pertanian Temin (PPT) sejak April tahun lalu.
Katanya, pokok anggur yang ditanamnyasudah dua kali berbuah dengan menghasilkan rasa yang manis.
“Antara jenis anggur yang saya tanam ialah heliodor, jubilee, velez, dixon, rumba, baikonur, jupiter, lorano, beauty krasotka dan krasava.
“Terdapat tiga rumah perlindungan hujan yang menempatkan 22 hingga 32 pokok yang hidup subur,” katanya di sini semalam.
Bercerita lanjut, dia memberitahu, mula meminati tanaman anggur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021 kerana tidak boleh bergerak ke mana-mana.
“Untuk menghilangkan jemu, saya banyak layari Facebook dan teruja ada orang boleh menanam anggur di negara ini. Justeru, saya mengikuti kursus secara bersemuka dan secara dalam talian bagi meningkatkan ilmu.
“Kemudian saya membuat pesanan beberapa jenis benih dengan harga RM300-RM400 sepokok dan menanam dalam pasu di tepi rumah,”katanya.
Tambah beliau, anggur jenis jupiter paling sesuai di tanam di kawasan rumah kerana selain mudah berbuah lebat, ia juga manis dan beraroma.
Sementara itu, Syed Norhaimi berkata, produk anggur berpotensi menjadi tanaman tempatan popular yang mampu menarik pelancong domestik kerana produktif sepanjang tahun.
“Anggur yang ditanam boleh mengeluarkan hasil dalam masa enam bulan,” ujarnya.














