KAMPAR – Seorang nenek berusia 78 tahun di Kampung Sungai Kurong Dalam, di sini, bersyukur kerana dalam usia emasnya tidak menghidap penyakit kronik seperti masalah jantung, kanser atau buah pinggang selain masih bertenaga seperti orang muda.
Piah Hussin yang mempunyai 32 cucu dan 18 cicit memberitahu, antara petua kekal sihat yang diamalkannya tidak pernah memasak makanan menggunakan minyak masak dan sering menunggang basikal atau berjalan kaki untuk melakukan urusan harian.
Katanya, dia tidak runsing sekiranya harga minyak masak naik, kekal atau kekurangan bekalan kerana tidak pernah membelinya di kedai.
“Sudah biasa hidup susah, jadi sampai sekarang saya masih amalkan cara merebus dalam masakan. Ikan, daging dan ayam saya rebus
sahaja.
“Cuma kadangkala sahaja jamah sedikit kalau anak-anak dan menantu minta saya makan makanan bergoreng atau makanan segera untuk ambil hati mereka,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Piah yang mempunyai 14 anak berkata, dia juga sering makan ulam-ulaman dan pucuk-pucuk daun seperti daun betik yang banyak khasiat dengan sambal belacan.
Selain itu, dia akan membasuh beras banyak kali bagi memastikan kebersihannya.
“Setiap hari, saya menunggang basikal sejauh 2 hingga 3 kilometer (km) untuk pergi ke kedai sebagai senaman walaupun ada lesen motosikal.
“Saya juga akan berjalan kaki ke surau berhampiran untuk menunaikan solat dan mendengar ceramah,” ujarnya.














