fbpx

Ameng terima bayaran duit palsu, cek tendang RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMENG mendedahkan pernah menerima bayaran duit palsu dan cek tendang bernilai RM30,000 selepas menjayakan persembahan pentas.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Ameng Spring mendedahkan ditipu orang tengah bagi sebuah acara berprestij membabitkan bayaran berjumlah RM30,000 apabila diberikan cek tendang selepas menyempurnakan persembahan.

Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail berkata, insiden berkenaan berlaku sekitar dua tahun lalu, bahkan sehingga sekarang individu berkaitan belum melunaskan janji.

“Waktu itu saya nyanyi dalam satu majlis makan malam di sebuah tempat berprestij dan diberikan cek bernilai RM30,000 tetapi apabila pergi bank rupa-rupanya cek tendang.

“Orang tengah yang menguruskan hal berkaitan persembahan beri macam-macam alasan dan selepas dua tahun isu tersebut masih belum selesai.

“Kebiasaannya saya memang minta deposit, tapi disebabkan percaya selepas melihatkan acara serta lokasi, saya buat dulu persembahan,” katanya selepas sidang media Konsert Rock Legend Berzaman, semalam.

Ketika ditanya sama ada serik masih diperdayakan biar sudah hampir empat dekad dalam industri seni, penyanyi berusia 55 tahun itu memaklumkan masih sedia beraksi di tempat sama memandangkan itu bukan salah tuan rumah.

“Selepas insiden itu memang saya akan pastikan dapat duit pendahuluan sebelum beraksi, Tali saya tak salahkan tuan rumah sebab pihak terbabit tidak tahu masalah ditimbulkan ejen.

“Penyanyi yang buat persembahan pun tiada perjanjian bertulis dan sebagainya, jadi kalau nak buat tuntutan di mahkamah agak sukar sebab semua benda kita perlu buat sendiri.

“Nak kata serik tidaklah. Sebelum ini saya akan pastikan saya dapat wang deposit dulu kalau dia tak bayar baki masih ada duit pendahuluan itu,” ujarnya.

Ameng turut memaklumkan pernah dibayar dengan duit palsu oleh penganjur sebuah acara lain selepas selesai mengadakan persembahan.

“Bukan itu sahaja, saya juga terima duit palsu dan tak dapat satu sen pun bayaran selepas buat persembahan, sedih sebenarnya diperdaya begini,” katanya.

Mengenai Konsert Rock Legend Berzaman bersama lapan lagi penyanyi rock legenda tanah air, penganjur RAR Sky Entertainment memintanya membawakan lima dendangan di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 3 Mac depan.

Rakan seperjuangan yang bakal memanaskan pentas dalam persembahan itu nanti ialah Muss May, Amir Ukays, Zamani Slam, Ezad Lazim, Shidi Data, Azan Scan, Poey Sting dan Hazama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI