SELEPAS memutuskan untuk berhenti kerja sebagai pentadbir ladang sawit pada tahun 2014 dan pulang ke kampung halaman di Kudat, Sabah, wanita itu awalnya tidak tahu apa yang mahu dilakukan.
Namun, apabila sudah berada di kampung, minat terhadap seni kraf tangan kembali menjentik dirinya selepas melihat sebahagian penduduk yang aktif dengan aktiviti berkenaan.
Menurut wanita asal Kampung Lompozou, Kudat, Plenney Mongiling, 44, sejak di bangku sekolah, dia memang berminat dengan seni kreatif antaranya kain sulaman pis.
“Di sekolah, kami ada belajar tentang sulaman semasa dalam kelas ekonomi rumah tangga dan sejak itu saya memang meminati seni tersebut tetapi tiada kesempatan untuk melakukannya semasa bekerja di bandar.
“Namun, selepas kembali ke kampung, saya melihat ada penduduk mengusahakan produk kain sulaman pis dan dari itu saya tertarik untuk pelajarinya dengan lebih mendalam,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Tambahnya yang kini menghasilkan produk seni sulaman pis sepenuh masa, semakin dia mendalami seni kain sulaman pis, dirinya berasa semakin dekat dengan asal usulnya iaitu suku kaum Rungus.
Jelasnya, antara sebab dia mahu belajar seni tradisi itu bukan hanya mahu menjana pendapatan tetapi juga memperkasa warisan tersebut agar tidak ditelan zaman.
“Tidak ramai tahu tentang kain sulaman pis dan pada masa sama generasi muda juga kurang berminat mengenainya.
“Namun begitu, ramai tidak tahu produk dengan sulaman pis ini mempunyai nilai tinggi kerana keunikan dan kehalusan seni yang diwarisi turun-temurun,” ujarnya.
Seni kain sulaman pis atau turut dikenali sebagai ‘Tinohian’ adalah sejenis kain yang mempunyai dua belah atau bahagian yang disulam dengan motif berwarna warni.
Berukuran lebih kurang satu meter per segi, kebiasaannya sulaman pis ini dibuat untuk ‘kain sigal’ yang dilipat dan dipakai sebagai ikat kepala lelaki bagi suku kaum Rungus.
Menurut guru seni kain pis, Crisna Mojupi, 55, pembuatan kain ini biasanya dilakukan oleh golongan wanita sebagai kerja sambilan dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.
“Sulaman pis ini dibuat menggunakan kain kapas sebagai kain latar warna berbeza di kedua sisi yang kebiasaan berwarna hitam dan oren atau merah, serta merah atau kuning dan oren.
“Warna kain itu membawa beberapa simbolik sendiri misalnya warna gelap untuk yang sudah berkahwin dan cerah masih bujang,” katanya yang pelajari seni itu daripada nenek dan datuknya.
Motif kain sulaman pis mengambil inspirasi daripada alam sekitar seperti tumbuh-tumbuhan yang berhubung rapat kehidupan masyarakat Rungus zaman dahulu yang tinggal di kawasan pergunungan dan hutan.

Bagi warna benang pula, ia tidak mempunyai sebarang had, biasanya sulaman pis akan berwarna-warni mengikut kreativiti si pembuat.
Bagi proses pembuatan pula, wanita yang juga berasal dari Kampung Lompozou itu memberitahu, pada permulaan, kain yang digunakan akan ditegangkan di atas pemidang.
Kemudian, motif yang diperlukan dilukis di atas kertas terlebih dahulu sebelum kertas yang mempunyai motif ditebuk dengan jarum bagi mendapatkan lubang-lubang halus.
“Kemudian, kertas bermotif berkenaan diletakkan di atas kain dan ditaburkan dengan bedak di atasnya.
“Lubang-lubang tersebut akan membentuk garisan motif di atas kain yang akan menjadi panduan untuk menyulam,” ujarnya.
Jelasnya, sulaman akan dimulakan dari sudut tepi dan terus ke bahagian tengah kain.Ini untuk memastikan corak atau motif berada dalam keadaan seimbang pada semua sudut.
Apabila semuanya telah disulam ia dicantumkan dan menjadikannya boleh digunakan kedua-dua permukaan kain.
Kongsinya lagi, bagi menyiapkan sehelai kain dengan sulaman pis, biasanya akan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan.
“Kita perlukan masa untuk siapkan sehelai tempahan berikutan proses pembuatan dilakukan secara manual (tangan) tanpa bantuan mesin.
“Kain sulaman pis memang perlu menggunakan tangan bagi mendapatkan hasil yang lebih kemas kerana berbeza dengan sulaman lain, ia merupakan produk sulaman dengan motifnya sama di kedua-dua belah kain,” ujarnya.
Jelasnya, untuk sehelai kain yang sudah siap disulam, harganya pula boleh mencecah antara ratusan hingga ribuan ringgit mengikut jenis motif dan masa yang diambil untuk menyiapkannya.
Mengikuti peredaran zaman, pembuatan kain sulaman pis kini tidak lagi untuk pembuatan sigal sahaja tetapi juga sebagai hiasan produk lain seperti beg tangan dan sarung bantal.
Namun begitu, Crisna memberitahu, dalam pembuatan produk lain selain sigal, terdapat pantang larang yang mana ada satu warna tidak boleh digunakan iaitu oren.
Ceritanya, ia berikutan kepercayaan orang-orang tua, warna oren adalah warna hanya boleh ada pada sigal yang digunakan sejak turun-temurun.
Selain mengusahakan pembuatan kain sulaman pis, ibu empat cahaya mata itu turut mengadakan bengkel kemahiran untuk mewariskan ilmu sulaman kepada orang ramai terutama generasi muda.
Salah seorang pelapis pembuat sulaman kain pis ialah Jasiah Taupang, 47. Dia tertarik pelajari seni tersebut pada awalnya kerana mahu membuat seni itu sendiri berikutan harganya agak mahal.
Jasiah berkata, penghasilan kain sulaman pis juga dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat kerana proses pembuatan biasanya dilakukan secara bergotong-royong.
“Jika ada tempahan yang banyak kami biasanya akan buat kain bersama-sama.
“Seni ini adalah medan penghubung masyarakat dan pada masa sama membuatkan kita lebih kenal jati diri. Saya harap lebih ramai generasi muda mahu pelajarinya,” tuturnya














