fbpx

‘Hot Daddy’: Empat wanita didenda mengaku salah miliki video lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam wanita yang dikaitkan dengan "Hot Daddy" ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini. Foto oleh IQBAL ROSLI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Empat daripada enam wanita yang dikaitkan dengan video “Hot Daddy” dalam aplikasi X didenda antara RM2,500 hingga RM4,800 oleh tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki video lucah.

Empat mereka itu ialah Nurnabilah Ayuni Hanafi, 22, Amira Natasha Mohammad, 26, Farah Adila Hanum Khairuddin, 36 dan Nur A’liaa Muhammad Rosly, 22.

Nurnabilah Ayuni dan Amira Nastasha yang didakwa di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim masing-masing didenda RM3,000.

Tertuduh Farah Adila yang didakwa di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim didenda RM2,500 manakala tertuduh Nur Aliaa yang didakwa di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan didenda RM4,800.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa dalan milikan masing-masing terdapat video lucah bagi maksud menunjukkan secara awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat unit Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Wangsa Maju di sini pukul 5 petang pada 30 Januari lalu (2024).

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sekiranya kesemua tertuduh yang mengaku salah itu gagal membayar jumlah denda itu mereka boleh dipenjara sebulan hingga enam bulan. Mereka membayar jumlah denda berkenaan.

Sementara itu, dua lagi wanita iaitu Felecia Lisa Nandong ,21, dan Norfatihah Ramle, 30, yang turut didakwa atas pertuduhan sama mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan masing-masing di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin dan Majistret M.S Arunjothy.

Mahkamah kemudian membenarkan Felecia diikat jamin RM2,000 manakala Norfatihah diikat jamin RM3,000. Tarikh 12 Mac dan 26 Mac ini ditetapkan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiezah Mohamed Fauzi, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Zuhairi Osman, Sheryn Yong Shi Yee dan Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis menahan enam lagi wanita bagi membantu siasatan berhubung kes ‘Hot Daddy’ yang menjalankan aktiviti merakam dan menjual video melakukan hubungan seks dengan lebih 20 wanita melalui aplikasi media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain dilaporkan berkata, semua suspek diberkas minggu lalu menerusi fasa kedua Op Daddy.

Minggu lalu, bapa tiga anak yang popular dengan panggilan “Hot Daddy” yang tular dalam aplikasi X bersama dua wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sama.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, serta dua wanita masing-masing Norshazrina Md Zamri, 27, dan Norhidayah Mahadi, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di bacakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI