fbpx

Rexy yakin Malaysia ke suku akhir BATC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD lelaki diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei dalam usaha mempertahankan kejuaraan pada BATC 2024.

KUALA LUMPUR – Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky melaungkan keyakinan skuad lelaki negara tidak berdepan banyak masalah untuk melangkah ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 nanti.

Rexy berkata demikian selepas Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei, sekali gus memberi kelegaan buat kem negara sebelum kejohanan itu memulakan saingan di Shah Alam, Selangor bermula 13 hingga 18 Februari ini.

Beliau menggesa pemain-pemain negara memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selain menebus kekecewaan selepas menampilkan aksi mengecewakan pada Terbuka Malaysia sebelum ini.

“Undian yang cukup baik, terutamanya untuk pasukan lelaki. sekurang-kurangnya kita yakin untuk melangkah ke suku akhir. Malaysia adalah tuan rumah, jadi saya beritahu pemain supaya lakukannya demi peminat dan negara.

“Saya harap pemain-pemain kita boleh tampilkan aksi terbaik memandangkan kita tidak bermain baik pada Terbuka Malaysia. Harap kali ini boleh beri kegembiraan kepada peminat seluruh negara,” katanya selepas tamat majlis undian hari ini.

Untuk rekod, skuad lelaki negara melakar kejutan pada edisi 2022 apabila muncul juara buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia 3-0 di perlawanan akhir.

SKUAD wanita negara dijangka berdepan cabaran sukar daripada Thailand dalam Kumpulan Y.

Bagi edisi kali ini, Malaysia menyenaraikan Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe untuk perseorangan lelaki manakala beregu lelaki terdiri daripada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri.

“Kita akan persiapkan pemain dengan baik. Sudah tentu harapan saya supaya pasukan lelaki kita tampil lebih kuat dengan Lee Zii Jia sebagai tonggak pasukan,” tambah Rexy.

Dalam perkembangan sama, pengendali dari Indonesia itu juga optimis dengan peluang skuad wanita untuk melangkah ke suku akhir meskipun perlu berdepan cabaran sukar Thailand dalam Kumpulan Y yang turut dibarisi Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Pasukan wanita juga mampu untuk layak ke suku akhir tetapi perlu realistik bahawa tugas kita sukar berdepan Thailand. Bagaimanapun, kita berharap untuk berada di atas dan mengelak pertemuan dengan China atau Jepun,” ujarnya.

Skuad wanita diketuai pemain perseorangan, Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching selain mempertaruhkan Pearly Tan-M. Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Teoh Mei Xing-Tan Zhing Yi dalam acara beregu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI