fbpx

Kuskop sumbang RM500,000 bantuan pendidikan kepada Angkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ewon (empat dari kiri) bersama Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah (empat dari kanan) bergambar bersama pelajar-pelajar IPT pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Anugerah Pelajar Cemerlang (Ijazah Kelas Pertama) Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa di Wisma Ungku A. Aziz, Petaling Jaya. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) hari ini menyumbang sebanyak RM500,000 kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bagi membiayai pengajian pelajar yang memerlukan.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata bantuan tersebut akan disalurkan menerusi Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi kepada Angkasa sebelum diagihkan kepada pelajar yang memenuhi syarat untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi.

Katanya, dana tersebut bukan sahaja untuk pembiayaan yuran pengajian malah akan digunakan bagi keperluan serta kelengkapan mahasiswa seperti komputer riba dan buku ilmiah.

“Sebagai tanda komited kerajaan, Kuskop akan salurkan wang ini kepada Angkasa untuk membiayai pengajian dan kelengkapan lain bagi pelajar-pelajar anggota koperasi khususnya golongan B40.

“Kita berharap usaha ini menggalakkan rakyat untuk sertai gerakan koperasi kerana syarat utama untuk pelajar itu dibantu sama ada dia atau ibu bapanya anggota koperasi.

“Mudah-mudahan dana ini juga dapat membantu ramai lagi pelajar sesuai dengan hasrat kerajaan untuk mengutamakan pendidikan anak bangsa kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Anugerah Pelajar Cemerlang (Ijazah Kelas Pertama dan Lulus Cemerlang) Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa Sesi 2023 di sini, hari ini.

Tambah Ewon, bagi memantau dana bantuan ini, seorang pegawai daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan dilantik untuk bersama-sama dalam jawatankuasa khas ditubuhkan oleh Angkasa.

Katanya, ia merupakan salah satu langkah serta hasrat Kuskop untuk memastikan dana pendidikan disalurkan dapat digunakan sebaik-baiknya bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Pegawai ini akan mengenal pasti penerima dalam kalangan anak-anak keluarga B40 dan memperincikan mekansime atau bentuk bantuan selain yuran pengajian iaitu seperti komputer riba dan buku ilmiah yang diperlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI