fbpx

‘Saya mahukan kontroversi, tapi tak tahu cara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faez berharap bakat lakonannya dapat membuka mata mana-mana sutradara mengambilnya berlakon.

PETALING JAYA – Yakin kontroversi mampu menaikkan nama seseorang dalam industri seni, pelakon Faez Malek mengakui dahagakan populariti namun tidak tahu cara untuk mencetuskan sensasi seperti diharapkan.

Ujar pemilik nama penuh Mohammad Faiz Abdul Malek itu, jika kisah panas mampu mengangkat nama sekali gus memperkenal bakatnya kepada umum, dia tidak nampak perkara tersebut sebagai isu.

“Saya memang mahukan kontroversi, tetapi saya tidak tahu bagaimana cara untuk berbuat demikian. Saya faham zaman sekarang perlukan cerita hangat untuk dikenali, cuma itulah saya belum pandai bermain taktik itu.

“Saya percaya saya ada bakat tetapi orang tak nampak. Kalau kontroversi mampu menaikkan nama serta membuatkan orang perakui bakat saya, mengapa tidak?.

“Tetapi saya tidak mahukan kontroversi yang menjunamkan lagi karier saya, kena pilih-pilih juga, selain pilih naskhah, kena pandai pilih kontroversi,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kini aktif mempromosikan filem sulung dibintanginya berjudul Banglo Seksyen 12, aktor berusia 37 tahun itu berharap bakat lakonannya berkesan di hati penonton selain membuka mata sutradara lain mengambilnya berlakon.

“Saya aktif berteater, kurang sangat dapat tawaran berlakon di kaca televisyen mahupun layar perak, sekarang saya muncul dalam Banglo Seksyen 12, saya memang curahkan segala teknik lakonan yang saya ada dalam filem tersebut.

“Saya harap lakonan saya menerusi naskhah tersebut sampai kepada penonton dan membuka mata ramai pengarah untuk memanggil saya berlakon.

“Lakonan memang jiwa saya, harapnya lebih banyak peluang untuk saya membina nama dan bersinar dalam industri seni tanah air,” ujarnya panjang lebar.

Selain Faez Malek, Banglo Seksyen 12 turut dibintangi Intan Ladyana, Mustaqim Bahadon, Aniq Suhair, Hariz Hamdan dan ramai lagi.

Filem arahan Intan bersama Dharma Nasution itu kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI