fbpx

Zakat pendapatan wajib bila cukup syarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zakat pendapatan wajib dibayar oleh orang Islam yang cukup syarat, haul dan nisab. Gambar hiasan

RAMAI antara kita selama ini keliru sama ada zakat pendapatan atau duit gaji yang diperolehi setiap bulan wajib dikenakan zakat atau pun tidak.

Bagaimanapun, berdasarkan keputusan fatwa di peringkat kebangsaan, zakat pendapatan adalah wajib tetapi pelaksanaannya adalah berbeza di setiap negeri berdasarkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) masing-masing.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang beriman adalah menjadi kewajiban untuk membayar zakat pendapatan setiap tahun jika memenuhi syarat wajib. Hal ini merupakan bentuk tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.

Menjelaskan lagi tentang kekeliruan ini, Pengurus Kanan Unit Syariah dan Antarabangsa Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Husni Abd Rahman berkata, kewajipan menunaikan zakat pendapatan ini telah difatwakan sejak 1997.

Ahmad Husni

Katanya, keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 berkenaan Zakat Gaji dan Pendapatan Professional, menyebut:

“Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.

Bagi Fatwa Wilayah Persekutuan bertarikh 9 April 1999 tentang zakat penggajian pula menyebut:

“Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus.

“Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut,”katanya.

Ahmad Husni berkata, menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitab Fiqh al-Zakah, pekerjaan manusia adakalanya bebas tanpa terikat dengan kerajaan.

“Di kalangan mereka ada yang jadi doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan sebagainya.

“Adakalanya ia terikat dengan jabatan kerajaan, swasta dan sebagainya di mana mereka bekerja dan diberi gaji bulanan secara tetap. Pendapatan yang diperolehi itu dipanggil al-mal al-mustafad. Ia wajib dizakatkan.

“Gaji bulanan dianggap sebagai sebahagian daripada harta perolehan yang tertakluk kepada zakat sebagaimana kewajipan zakat ke atas harta-harta lain yang berbentuk emas, perak, pertanian, penternakan, perniagaan dan sebagainya.

“Tambahan wajah istidlal: Al-Baqarah ayat 267, ulama mentafsirkan pendapatan merupakan sebahagian daripada makna كسبتم مما yg terdapat dalam ayat.

“Ada juga menggunakan kaedah qias aulawi, iaitu jika seseorang petani dikenakan zakat pertanian, kenapa orang yang mendapat gaji tidak kena zakat?,” soalnya.

Ahmad Husni menerangkan, kewajipan zakat ke atas pendapatan yang diperoleh dapat dilihat dan difahami melalui maksud daripada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ  وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).”

Klik untuk kira zakat pendapatan anda di https://www.zakat2u.com.my/kiraan/zakat/pendapatan

Beliau berkata, kewajipan berzakat juga dikenakan ke atas mereka yang telah cukup syarat, nisab dan haul.

“Syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk mengeluarkan zakat iaitu Islam yang bermaksud tidak wajib zakat ke atas orang yang kafir dan sumbernya juga mesti halal.

“Begitu juga syarat merdeka, seseorang perlu bebas dari sistem perhambaan yang mengekang dari aspek pemilikan harta.

“Cukup nisab yang telah ditetapkan, iaitu sejumlah harta yang mencapai nilai yang diwajibkan untuk berzakat iaitu bersamaaan nilaian 85 gram emas.

“Apabila sampai nisab ini (bersamaan 85 gram emas) atau lebih, orang itu dianggap telah layak mengeluarkan zakat. Jumlah zakat pendapatan pula adalah sebanyak 2.5 peratus daripada baki nisab tersebut.

“Ketiga adalah, cukup haul (setahun Qamariah), iaitu genap setahun harta tersebut berada dalam simpanannya.

“Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A, Nabi SAW bersabda:

وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun” Riwayat Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789).

“Akhir sekali syaratnya adalah ia merupakan milik sempurna individu yang memiliki harta tersebut. Maknanya tiada halangan untuk individu itu mengeluarkan harta tersebut,”ujarnya.

Bagaimanapun kata Ahmad Husni, dalam zakat pendapatan, terdapat perbincangan antara ulama, malah ada kalangan mereka berkata zakat itu perlu menepati syarat-syarat seperti milikan sempurna dan cukup nisab tanpa ada syarat haul.

“Tetapi ini masih lagi diperdebatkan dan diperbincangkan serta penentuan haul itu juga boleh ditentukan dengan cara yang bersifat semasa.

“Selain itu, pemilikan juga ditentukan dengan bersifat hukmi iaitu duit itu belum diperolehi, tetapi secara hukumnya dia telah memiliki pendapatan tersebut berdasarkan kontrak yang dia telah dimeterai dengan majikan.

“Bila sudah tandatangan kontrak, individu itu sudah tahu berapa pendapatan setahunnya. Jadi, itu juga boleh menjadi antara faktor penentuan kepada pemilikan harta di tangan individu dan penentuan sama ada dia telah cukup nisab.

“Bukan itu sahaja, dalam individu juga ada harta-harta yang lain seperti simpanan, saham ataupun perniagaan. Jadi harta ini juga wajar dicampurkan dengan harta pendapatan itu untuk mendapatkan nisab,”katanya.

Memperincikan lagi cara pengiraan zakat pendapatan yang dikenakan ke atas individu, Ahmad Husni berkata, terdapat beberapa syarat dan penolakan yang akan dikira sebelum seseorang itu diwajibkan membayar zakat.

“Antara penolakan dalam jumlah pendapatan termasuklah diri sendiri, isteri, anak-anak, anak OKU, ibu bapa, caruman seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji.

“Selepas membuat semua penolakan ini, jika ada baki dan mencukupi nisab, baharulah seseorang itu dikenakan zakat atas duit pendapatan tahunan itu.

“Nilai nisab ini pula setiap tahun akan meningkat iaitu bagi tahun ini jumlah nisabnya adalah RM24,198 berbanding tahun lalu iaitu RM21,626. Nilai nisab ini juga bergantung kepada harga emas semasa.

Kadar Nisab Zakat Harta dan Perak bagi tahun 2024.

“Sebagai contoh, mereka yang ditinggal di Kuala Lumpur ini jika pendapatan RM4,000 atau RM5,000 sekali pun belum tentu dia dikenakan zakat kerana banyak faktor penolakan akan dikira sebelum jumlah nisab sebenar ditentukan,”katanya.

Ujar beliau, secara umumnya, tiada nilai sebenarnya jumlah gaji yang dikenakan zakat atau tidak, tetapi apa yang penting datang buat taksiran di PPZ dahulu. Ini kerana secara umumnya orang bekeluarga dan orang bujang adalah lain cara pengiraannya.

Bagaimanapun, bagi mereka yang dikenakan cukai pendapatan walaupun tidak dikenakan zakat, untuk melayakkan mereka mendapat rebat bolehlah membayar zakat pendapatan secara sukarela.

Tambah beliau, zakat pendapatan juga perlu dibayar di negeri tempat seseorang itu bekerja walaupun pembayar zakat itu tidak menetap di negeri tersebut.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang pembayar zakat bekerja di Wilayah Persekutuan Putrajaya tetapi menetap di Selangor, zakat pendapatan bagi pembayar zakat itu hendaklah dibayar di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sementara itu, ketika ditanya apa kesan sekiranya individu tersebut tidak membayar zakat pendapatan, Ahmad Husni berkata, setakat ini PPZ MAIWP tidak mengenakan sebarang tindakan.

“Tetapi apa yang penting, kesannya adalah pertama seseorang itu tidak mentaati perintah oleh penguat kuasa agama di mana tempat dia bekerja.

“Kedua, dia juga telah mengabaikan keperluan asnaf yang sememangnya berhak ke atas harta seseorang individu itu. Jadi apabila kita mengabaikan keperluan orang lain ini, ia seolah-olah kita telah ‘mencuri’ haknya.

“Kita (PPZ MAIWP) juga tidak melakukan sekatan ke atas individu contohnya sekatan ke luar negara atau sebagainya. Cuma apabila kita menghalang hak ke atas orang lain, dari sudut keberkatan harta kita itu pasti akan berkurangan,”tegasnya.

Justeru, Ahmad Husni memberitahu, kewajipan menunaikan zakat pendapatan ini perlulah dirujuk kepada pihak berwajib.

Gambar hiasan

“Bukan menafikan soal siapa yang berkata atau keilmuan sesiapa. Hujahnya mungkin betul, tetapi perkara yang diputuskan oleh pemerintah, selagi mana ia dalam lingkungan syariat dan tidak melanggar tatacara syariat yang umum dan besar, maka ia diperlu dan wajib diikuti oleh masyarakat,”nasihatnya.

Orang ramai boleh tunaikan zakat pendapatan di PPZ-MAIWP melalui saluran-saluran bayaran yang disediakan seperti kaunter, portal www.zakat.com.my, Skim Potongan Zakat Bulanan https://ptg.zakat.com.my/ , Aplikasi MyZakat, perbankan internet dan juga ejen-ejen yang dilantik.

Untuk rekod, pada tahun tahun lalu, PPZ MAIWP berjaya mengutip lebih RM1.305 bilion zakat daripada 1,851,852 pembayar zakat.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI