fbpx

Pesakit buah pinggang kronik didakwa terima deposit tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bee Nyean (tengah) tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. -Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seorang pesakit buah pinggang tahap akhir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sebanyak RM103,635, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Sai Bee Nyean,59, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Terdahulu, tertuduh yang diiringi polis tiba di mahkamah dengan memakai t-shirt berkolar, berseluar coklat dan bertongkat.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima deposit berjumlah RM103,635 daripada seorang wanita berusia 59 tahun tanpa lesen sah sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Sintat Garden, Off Jalan Raja Uda di Butterworth, di sini, antara bulan Mei hingga Ogos 2022.

Bagi pertuduhan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 127(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak memohon tiada jaminan dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam tertuduh, Ch’ng Kim Hock bagaimanapun merayu jaminan rendah dikenakan atas alasan tertuduh yang juga pesakit buah pinggang perlu menjalani rawatan dialisis dengan kerap.

Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin bersama syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 27 Februari depan untuk serahan dokumen.

Kosmo! difahamkan yang tertuduh selesai membayar jaminan yang dikenakannya pagi tadi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI