PETALING JAYA – Kebanjiran warga asing di ibu kota menyaksikan banyak sektor perniagaan seperti kedai runcit dan gerai makanan dikuasai golongan berkenaan.
Tinjauan Kosmo! di sekitar kawasan Lembah Pantai dan Kerinchi mendapati, banyak kedai runcit dan pasar basah dikuasai warga Indonesia.
Difahamkan, mereka ini menyewa tapak kedai tersebut daripada warga tempatan yang telah ‘mengalibabakan’ lesen mereka.
Seorang penduduk Lembah Pantai dikenali sebagai Khairul, 39, berkata, lebih 70 peratus kedai makan, pasar basah dan kedai runcit di sekitar Pantai Dalam dikuasai warga Indonesia.
Katanya, komuniti warga itu juga semakin besar dan mereka turut membuka beberapa ‘perkampungan’ di sekitar Lembah Pantai dan Kerinchi.
“Malah, mereka juga mempunyai persatuan yang kuat sehingga telah membina pusat pengajian persendirian, dewan orang ramai dan rumah pengurusan jenazah berhampiran penempatan rakyat tempatan.
“Dewan yang lengkap dengan kelas pengajian, bilik mesyuarat dan bilik pengurusan jenazah itu berada berdekatan rumah saya dan difahamkan mereka telah menyewa tapak berkenaan daripada seorang penduduk asal di Pantai Dalam,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Osman berkata, kebanjiran warga Indonesia itu dapat dilihat pada waktu petang dan hujung minggu apabila ramai akan keluar membeli di kedai runcit dan pasar basah sekitar kawasan ini.
“Malah, kedai makan yang diusahakan warga itu juga banyak di Pantai Dalam. Ada jual sate minang, bakso, ayam penyet dan pelbagai juadah dari Indonesia.
“Jika dilihat, mereka lebih ramai daripada rakyat tempatan terutamanya di sekitar Lembah Pantai, Pantai Dalam dan juga Kerinchi,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Selayang pula mendapati lambakan warga asing bukan lagi isu baharu di kawasan itu.
Malah, warga asing yang kebanyakannya terdiri daripada etnik Rohingya itu juga berani menjadikan lokasi sekitar Pasar Harian Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur sebagai tempat berniaga secara haram.
Seorang penduduk ingin dikenali Luqman, 27, berkata, dia yang duduk di Selayang sejak lahir tidak menafikan sudah terbiasa dengan kehadiran warga asing di situ.
“Selalu sangat nampak ada operasi kena kejar dengan imigresen tetapi nanti ada semula.
“Warga asing yang terlalu ramai ini memang timbulkan rasa kurang selesa kerana ada sesetengah yang tidak jaga kebersihan. Bela lembu di bawah flat pun ada, kalau kita tegur pun tak jalan,” katanya.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Noor, 41, berkata, walaupun sudah beberapa kali diterjah pihak berkuasa tempatan, warga Rohingya yang degil akan kembali berniaga.
“Mereka berniaga ikut suka, jual macam-macam tapi kebanyakannya jual makanan. Di kawasan seperti pasar borong dan pasar harian sekarang ini nampak kurang mungkin sebab sekarang penguat kuasa aktif buat serbuan, jadi mereka takut.
“Kalau masuk ke kawasan taman perumahan sebenarnya ada lagi mereka ini berniaga dan kadang-kadang kita warga tempatan ini macam perlu bersaing dengan mereka,” katanya.
Tambahnya, kalau keadaan tersebut berterusan tidak mustahil akan ada antara peniaga tempatan yang terpaksa gulung tikar. -KOSMO! ONLINE














