fbpx

Kaji semula pemberian pencen kepada ahli politik – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat.

PETALING JAYA – Kerajaan dicadangkan untuk mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik terlebih dahulu sebelum menamatkan skim pencen kepada penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pemansuhan pemberian pencen kepada ahli politik terlebih dahulu merupakan langkah yang tepat kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun sahaja.

“Ketika ini ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat membabitkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta dilantik ke dalam jawatan eksekutif seperti exco, menteri, timbalan menteri juga layak untuk menerima pencen.

“Kumpulan ini bukan sahaja menerima elaun serta peruntukan yang tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adnan berkata keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam sahaja.

Justeru itu katanya, Cuepacs berpandangan kerajaan tidak sepatutnya memansuhkan skim pencen penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan.

“Ketika ini penjawat awam dibenarkan membuat pilihan sama ada memilih skim berpencen ataupun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Walaupun terdapat penjawat awam yang memilih skim caruman KWSP, tetapi kebanyakan mereka lebih memilih skim berpencen kerana ianya dianggap sebagai lebih baik dan menjamin kesejahteraan selepas persaraan kelak,” ujarnya.

Katanya dengan skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman KWSP ini dilihat tidak membantu penjawat awam mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak.

Dalam pada itu katanya, Cuepacs menyambut baik pencerahan yang diberi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bahawa pengambilan secara lantikan kontrak sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan adalah langkah sementara sahaja bagi pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam bermula 1 Februari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI