Situasi saya, ayah meminta anaknya mendengar arahan beliau, sedangkan anaknya ada suami yang perlu dijaga hati dan meminta izin. Siapa yang perlu saya ikut? Ayah kata biar putus dengan suami jangan dengan mak bapak. Macam mana hukumnya dan mana perlu dipilih?
Jawapan: Seorang wanita yang telah berkahwin wajib mentaati suaminya tanpa membelakangkan ibu dan bapanya.
Namun, jika dia terpaksa memilih antara ketaatan kepada suami atau ibu bapa, maka dia wajib mendahulukan suaminya selagi mana arahan suami tidak mendatangkan kemudaratan kepada ibu bapa.
Jika arahan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada ibu bapa seperti isteri tidak dibenarkan untuk memberi bantuan kewangan kepada ibu bapanya yang miskin dalam keadaan dia mampu, maka isteri boleh untuk tidak mentaati suaminya.
Seorang anak wajib untuk menghormati ibu bapanya.
Menyakiti hati ibu bapa merupakan salah satu dari bentuk dosa besar dilarang dalam agama.
Bagaimanapun, apabila seorang wanita itu telah berkahwin, maka dia wajib untuk mentaati suaminya.
Sabda Nabi SAW: “Apabila seorang wanita itu melakukan solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kemaluannya (dari melakukan zina atau lainnya), mentaati suaminya maka akan dikatakan padanya (di hari kiamat): Masuklah ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang kamu kehendaki.”
Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda: “Seandainya aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang wanita untuk sujud kepada suaminya.” (Riwayat Ibn Majah)
Jika seseorang dapat menghimpunkan antara ketaatan suami dan ketaatan kepada ibu bapa, maka dia wajib melakukannya.
Mentaati suami tidak bermakna membelakangkan ibu bapa.
Sekalipun seseorang itu telah berkahwin, dia masih perlu untuk menghormati dan berbuat baik kepada ibu dan bapanya.
Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT: “Tuhan mu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’ ayat 23)
Namun, jika dia perlu mentaati salah seorang daripada keduanya, maka dia perlu mendahulukan suami berbanding ibu dan bapa.
Ini kerana, hak seorang suami melebihi orang lain termasuk ibu bapa.
Jika arahan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan bapa seperti isteri tidak dibenarkan untuk memberi bantuan kewangan kepada ibu dan bapanya yang miskin dalam keadaan si isteri mampu atau tidak dibenarkan untuk menjaga ibu dan bapa yang sakit kritikal sedangkan tiada orang lain yang boleh menggantikannya maka dalam keadaan ini isteri boleh untuk tidak mentaati suaminya. Arahan suami yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan bapa menyalahi perintah Allah SWT yang menyuruh seorang anak sama ada lelaki atau perempuan untuk berbuat bakti dan melayani kedua ibu dan bapa dengan baik.