fbpx

Malaysia mahu Palestin jadi anggota penuh PBB – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster dimuat naik Anwar di media sosialnya mengenai hak Palestin sebagai negara berdaulat.

PETALING JAYA – Hasrat rakyat dan kepimpinan Malaysia mahu Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah disampaikan kepada Setiausaha Agung PBB semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia tersebut disampaikan sendiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Antonio Guterres di New York, Amerika Syarikat (AS)

“Alhamdulillah, hasrat rakyat dan kepimpinan Malaysia agar Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB dan gesaan gencatan senjata telah disampaikan sendiri oleh Menteri Luar Negeri kepada Setiausaha Agung PBB di New York pada 23 Januari 2024.

“Gesaan Malaysia ini seiring dengan kenyataan Gutteres di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata, keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak.

Ujar beliau, jika penindasan, kekerasan, rampasan hak dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan.

“Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini.

“Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip iaitu Palestin berhak mendapat hak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasar garis sempadan pra-196 dengan Baitul Maqdis sebagai Ibu kota,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI