fbpx

Janji mati bersama, Izzue Islam menangis kenang jasa isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON dan pengacara Izzue Islam tidak dapat menahan sebak membayangkan jika kehilangan isterinya suatu hari nanti.

PETALING JAYA – Pelakon Izzue Islam gagal menahan sebak mengenangkan usaha keras isterinya, Awin Nurin yang menjadi tulang belakang kejayaan kariernya sebagai anak seni.

Ujar pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan itu, dia tidak mungkin dikenali ramai tanpa bantuan suri hati merangkap pengurusnya itu.

“Saya tidak boleh bayangkan kalau dia tiada. Kami pernah berborak dan saya kata kepadanya bolehkah kita mati bersama-sama nanti.

“Tanpa isteri, kalian mungkin tidak kenal Izzue Islam seperti hari ini dan saya juga tidak pernah bayangkan memiliki kehidupan begini sekarang,” kata Izzue menerusi sebuah podcast bersama pelakon Datuk Rosyam Nor.

Ditanya adakah bersedia jika suatu hari kehilangan isteri tercinta, aktor berusia 34 tahun itu mengakui bakal hilang arah dan mungkin fokusnya dalam dunia hiburan akan terkubur.

“Saya pernah terlibat dalam satu penggambaran dan dia tidak ikut sekali disebabkan demam. Ketika itu saya macam hilang arah.

“Sebab itu sampai sekarang saya akan bawa dia ke mana-mana sahaja kami pergi. Bukan tidak boleh berenggang tetapi dia individu penting buat saya.

“Saya mahu dia sentiasa ada di depan mata. Selagi saya hidup saya mahu dia ada di depan saya,” ujarnya menahan sebak.

Air mata pelakon filem Juang itu mengalir deras sebaik perkara berkaitan insan kesayangan dibangkitkan Rosyam.

Sebelum ini, anak jati Kelantan itu juga pernah mencipta lagu buat Awin sebagai luahan perasaan sayang terhadap wanita yang melengkapi segala kekurangan dalam dirinya.

Izzue dan Awin mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 namun belum dikurniakan rezeki untuk memiliki cahaya mata. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI