BATU PAHAT – Siasatan kes kehilangan Mila Sharmila Samsusah atau Bella kini memasuki episod baharu apabila ibu tunggal itu disyaki telah dilanggar dengan kereta sehingga menyebabkan kematian.
Menurut sumber, siasatan lanjut itu dilakukan ekoran penemuan rangka manusia yang dikaitkan dengan kehilangan Bella, 32, yang ditemui di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, di sini pada Jumaat lalu.
Kata sumber, Bella dipercayai mati pada malam kehilangannya pada 14 Disember tahun lalu akibat dilanggar dengan kereta selepas mangsa keluar bersama seorang lelaki disyaki teman lelakinya pada pukul 11.50 malam.
“Punca kejadian itu dikatakan bermula daripada Bella yang dipercayai mempertikaikan tindakan teman lelakinya menggadaikan rantai emas miliknya tanpa memaklumkan kepadanya.
“Selepas bergaduh, Bella diarahkan turun sebelum dilanggar dengan kenderaan sehingga menyebabkannya mati,” katanya.
Sumber berkata, mayat janda anak dua itu kemudian dipercayai dibuang di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani di kampung berkenaan.
Katanya, salah seorang suspek utama disyaki teman lelaki Bella telah membawa pasukan penyiasat ke rumah terbiar itu untuk menunjukkan lokasi rangka manusia ditemui.
Bagaimanapun, setakat semalam, identiti sebenar pemilik rangka manusia berkenaan masih belum disahkan.

di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, kakak Bella, Norhisham, 36, dalam status yang dimuat naik dalam akaun Facebook berkata, telefon iPhone milik adiknya itu telah dijumpai tersorok dan tidak dilupuskan.
“Nasib menyebelahi kami sebab suspek tidak tahu nombor kunci iPhone Bella dan mungkin telefon itu disimpan olehnya sementara menunggu kes reda sebelum dijual.
“Bella memang tidak pernah memberikan kepada sesiapa nombor kekunci iPhonenya, namun kami mengetahuinya kerana memang rapat dengan anak-anak,” tulisnya.
Kosmo! semalam melaporkan, polis sedang menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk motif cemburu bagi merungkai kes kehilangan Bella yang disyaki telah dibunuh ekoran penemuan rangka manusia di sebuah rumah terbiar.
Ketika ini polis sedang bertungkus-lumus mengumpul bukti pembunuhan wanita itu dengan menyoal siasat tiga suspek yang kini ditahan reman bagi
membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, keluarga Bella berharap rangka manusia yang ditemui di sebuah rumah terbiar itu bukan milik ibu tunggal tersebut.
Biarpun cebisan kain yang ditemui bersama rangka manusia itu hampir sama pakaian yang dipakai Bella, ketika keluar dari rumah pada malam kehilangannya, namun keluarganya masih mengharapkan keajaiban akan berlaku.















