fbpx

Mahkamah: Isteri Tun Daim didakwa esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Na'imah (tengah) dalam satu sidang media hadapan pejabat SPRM Putrajaya pada 10 Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Isteri kepada bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Khalid, akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok.

Bagaimanapun pertuduhan terhadap Na’imah, 67, tidak dijelaskan secara terperinci.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap keluarga Daim sejak Februari tahun lalu rentetan daripada pendedahan Kertas Pandora.

Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti.

Pada 21 Disember 2023, media melaporkan bahawa SPRM telah menyita Menara Ilham milik keluarga itu.

Pada 10 Januari lalu, Daim dan keluarga memfailkan semakan kehakiman mencabar tindakan SPRM menyiasat dan menyita aset mereka termasuk akaun-akaun bank dan kenderaan.

Oleh itu, Daim dan keluarganya memohon relif antaranya satu deklarasi bahawa SPRM dan pegawainya tidak mempunyai sebab munasabah untuk menyiasat kesemua pemohon mengikut Akta SPRM atau pengubahan wang haram.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM ke atas Daim dan keluarganya termasuk Menara Ilham adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Kesemua pemohon juga menuntut agar kesemua siasatan terhadap mereka dihentikan, memulangkan semula semua dokumen dan aset yang disita dan menyahbeku akaun-akaun bank termasuk akaun bank syarikat.

Daim dan keluarganya turut memohon satu perintah yang melarang pihak pendakwaan daripada mendakwa mereka di mahkamah.

Turut dimohon ialah ganti rugi am dan teladan, kos atas dasar indemniti penuh kepada pemohon-pemohon dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI