DALAM usaha kerajaan mengelakkan sebarang ketirisan yang berlaku dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat, Kementerian Ekonomi telah mengambil inisiatif untuk membangunkan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).
Melalui sistem itu juga, kerajaan dapat menyampaikan bantuan kepada rakyat yang benar-benar layak berdasarkan kriteria telah ditetapkan.
Setelah lebih dua minggu dilancarkan, seramai 1.54 juta rakyat Malaysia termasuk golongan muda berusia bawah 18 tahun telah mendaftar dalam sistem tersebut.
Bagi membincangkan dengan lebih lanjut tentang isu berkaitan Padu, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Baru-baru ini kerajaan telah memperkenalkan Padu. Sistem ini dikatakan mampu menilai tahap kemampuan seseorang secara menyeluruh. Boleh Prof. ulas mengenai perkara ini?
AHMED RAZMAN: Kerajaan memperkenalkan sistem Padu ini kerana beberapa faktor.
Pertama adalah berkaitan peruntukan subsidi pukal yang semakin meningkat pada setiap tahun.
Jika kita lihat, jumlah subsidi yang diperuntukkan pada tahun lepas melebihi RM80 bilion dan jauh daripada anggaran diletakkan dalam Belanjawan 2023.
Apabila kita melihat Belanjawan 2024, peruntukan subsidi hanya sekitar RM56 bilion.
Ini kerana, kerajaan mahu menumpukan hasil yang diterima pada tahun lalu untuk tujuan pembangunan dan bantuan-bantuan lain seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang telah ditingkatkan jumlahnya kepada RM10 bilion.
Pada masa sama, kerajaan mendapati bahawa ada isu ketirisan atau pembaziran, rasuah dan penyeludupan terhadap barang-barang diberi subsidi.
Sebagai contoh, minyak masak paket didapati diseludup terutamanya di kawasan sempadan dan disimpan untuk dijual kepada orang-orang tertentu.
Selain itu, minyak petrol RON95 juga berlaku ketirisan.
Begitu juga isu berkaitan telur ayam, ayam dan padi juga mengalami masalah sama apabila pengeluar atau peniaga mengambil kesempatan untuk memegang stok sehingga memaksa kerajaan memberi subsidi lebih tinggi.
Oleh itu, penyelesaian yang lebih tuntas harus dilakukan dan Padu adalah salah satu pelengkap kepada sistem lebih komprehensif.
Kenapa? Kerana apabila kerajaan mula memperkenalkan subsidi bersasar secara berperingkat mulai tahun ini, maka amat penting untuk memastikan bahawa mereka yang layak menerima tidak tercicir.
Disebabkan itu, perlu ada Padu ini kerana sistem sedia ada seperti STR mempunyai pangkalan data sendiri, tetapi hanya berdasarkan jumlah pendapatan individu dan isi rumah.
Manakala pemberian bantuan-bantuan lain adalah berdasarkan apa yang dilaporkan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Oleh itu, apabila kita mengekalkan pengkelasan sedemikian rupa, maka ada kemungkinan sesetengah golongan yang sepatutnya layak menerima, namun tidak dapat terutamanya golongan M40.
Difahamkan Padu tidak menilai seseorang berdasarkan pendapatan semata-mata, sebaliknya mengambil kira perkara-perkara lain lagi. Apakah kebaikan terhadap penilaian menyeluruh ini?
Melalui Padu, ia akan mengurangkan keresahan golongan M40. Ini kerana, golongan tersebut sering dipinggirkan daripada menerima bantuan.
Kali ini, agendanya adalah tidak memberi bantuan kepada B40 sahaja.
Namun, bantuan akan diberikan kepada mereka yang layak dapat meskipun individu itu adalah M40.
Tidak semestinya individu itu berpendapatan RM4,500 terus automatik tidak layak.
Sebenarnya, kalau seseorang itu mempunyai anak yang ramai dan tinggal di bandar, sepatutnya layak dapat.
Selain itu, faktor pemilikan kenderaan juga boleh menjadi satu kriteria.
Padu ini boleh mengesan ketirisan di mana seseorang itu menyatakan tidak mempunyai kenderaan, tetapi dalam rekod ada penggunaan petrol RON95. Jadi, ini menunjukkan bahawa pentingnya data-data ini untuk mengelakkan ketirisan.
Sistem Padu ini bermatlamat membantu kerajaan memberi subsidi secara bersasar. Mampukah perkara ini memberi penilaian tepat kepada kerajaan dalam membantu golongan yang betul-betul memerlukan?
Bagaimana sistem ini dapat memberi penilaian tepat bergantung kepada pemegang taruh yang terbesar iaitu rakyat itu sendiri.
Jika mereka yang sepatutnya menerima bantuan ini tidak bekerjasama, bagaimana bantuan hendak disalurkan.
Kejayaan sistem ini bergantung kepada rakyat itu sendiri. Selagi mereka tidak mendaftar dan memberi maklumat tepat, maka sistem ini tidak dapat memberi manfaat kepada penerima.
Oleh itu, kerajaan perlu melaksanakan kempen bersasar dan memberi galakan kepada rakyat untuk mendaftar.
Rakyat ini biasanya lebih bermotivasi untuk mendaftar jika ada insentif tertentu.
Bukan semua faham dan sedar akan manfaat Padu ini. Mereka juga perlu faham bahawa pendaftaran ini adalah untuk mengelakkan ketirisan dan bantuan sampai kepada golongan sasar.
Di luar bandar pula, perlu ada jerayawara untuk membantu mereka yang kurang pengetahuan untuk mendaftar secara online.
Saya melihat penglibatan pertubuhan bukan kerajaan, syarikat swasta, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan boleh memainkan peranan.
Melalui sistem Padu, ia boleh membantu mereka menyampaikan bantuan secara lebih cekap dan sampai kepada golongan sasar.
Boleh Prof. kongsikan negara luar yang telah melaksanakan sistem Padu dan kejayaan negara tersebut mengagihkan bantuan secara bersasar.
Mungkin sistem Padu yang dilaksanakan ini tidak sama seperti yang diguna pakai di negara luar.
Namun, apa yang kerajaan lakukan sekarang ini menuju ke arah amalan dilakukan oleh negara maju.
Di negara maju, mereka tidak memberikan subsidi secara langsung kepada rakyat, hanya ada subsidi kepada pihak industri.
Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, ada subsidi yang diberikan kepada peladang.
Meskipun mereka tidak memberi subsidi secara langsung kepada rakyat, namun bantuan tunai ada diberikan, misalnya pemberian baucer makanan di AS.
Jika kita lihat, kerajaan juga telah menuju ke arah itu, di mana STR semakin lama semakin meningkat dan subsidi dikurangkan.
Kaedah ini jika kita perhatikan betul-betul bersasar kepada golongan memerlukan.
Adakah sistem Padu akan mematikan pengkelasan masyarakat seperti B40, M40 dan T20 seperti sebelum ini?
Kemungkinan pengkelasan ini sudah tiada dan peratusan rakyat yang menerima bantuan melebihi 40 peratus.
Sebagai contoh, jika melihat kepada tarif elektrik, dianggarkan 90 hingga 95 peratus pengguna menikmati tarif sedia ada.
Sama juga seperti bantuan tunai melebihi 40 peratus yang menerima. Selepas ini mungkin tiada pengkelasan ini dan ia bergantung kepada kelayakan.

Sekiranya ada individu yang tidak mengisi Padu, adakah golongan ini berpotensi untuk tercicir daripada mendapatkan bantuan daripada kerajaan?
Betul, mereka berpotensi untuk tercicir kerana mengisi data merupakan satu permulaan kepada inisiatif pemberian bantuan ini.
Setelah data diisi, mekanisme bantuan mungkin akan diberikan melalui dua platform iaitu e-Wallet dan MyKad.
Jika kita lihat sebelum ini kerajaan ada memberikan bantuan sebanyak RM100 seorang melalui e-Wallet.
Mungkin tujuan utama adalah mahu semua orang mempunyai kemudahan itu. Pemberian bantuan untuk mereka yang tinggal di luar bandar mungkin akan menggunakan
MyKad dan mereka boleh menebusnya di kaunter.
Jika rakyat tidak mengisi maklumat, potensi dia untuk tercicir daripada menerima bantuan ada.
Kita tidak menjangka bahawa 100 peratus rakyat akan mendaftar Padu dan ada yang akan melakukannya pada saat-saat akhir.
Apabila subsidi bersasar ini dilaksanakan, baru mereka mahu mendaftar.
Oleh itu, kerajaan perlu mengambil kira kemungkinan berlaku pendaftaran secara beramai-ramai serentak nanti.
Masyarakat perlu mengisi beberapa butiran peribadi secara atas talian atau berkunjung ke pusat Padu yang dibuka. Namun, sejauh mana ketulusan masyarakat mengisi butiran ini tidak diketahui. Bagaimana pendapat Prof. mengenai perkara ini?
Tidak dinafikan, isu ini boleh terjadi dan mungkin ada yang menyatakan bahawa dia mempunyai anak ramai, tanggungan besar dan lain-lain lagi.
Sistem Padu ini tidak sempurna dan boleh mengesan sebarang ketidakjujuran.
Bagaimanapun, rakyat perlu ada kesedaran sendiri, di mana mereka harus memahami bahawa penipuan adalah satu dosa.
Kerajaan perlu sentiasa menasihati rakyat supaya memberikan butiran yang betul. Sekiranya ada penipuan dalam pemberian butiran maklumat, mungkin mereka boleh dikenakan tindakan.
Salah satu masalah besar ketika ini, ramai bimbang sekiranya data peribadi mereka bocor apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menjual data tersebut kepada pihak lain. Adakah kebimbangan ini berasas?
Sebenarnya, data peribadi yang diminta itu sudah ada di agensi-agensi tertentu kerajaan.
Sistem Padu ini cuma mahu seragamkan atau menyatupadukan data tersebut.
Tidak ada isu bahawa data peribadi akan bocor kerana ia juga tidak meminta maklumat yang sensitif.
Maklumat yang diminta bersifat umum seperti bilangan anak, kereta dan sebagainya.
Jika kita lihat, sekiranya berlaku penipuan, ia mesti sesuatu yang dilakukan oleh individu itu sendiri sama ada tersalah menekan pautan dan memberi nombor OTP kepada pihak lain.
Penipuan ini tidak boleh terjadi kepada satu pihak sahaja kerana ia melibatkan dua pihak.
Jika individu itu takut untuk memberi data kepada Padu, kemungkinan mereka untuk ditipu tetap ada.
Isunya bukan berkaitan perkongsian data, sebaliknya setiap individu itu perlu mengetahui tentang modus operandi penipuan.
Paling penting, jangan berkongsi maklumat dengan pihak tidak dikenali menerusi telefon.
Jika bimbang untuk mendaftar Padu secara online, kita boleh pergi ke kaunter pendaftaran disediakan.
Pada pendapat tuan, adakah pelaksanaan Padu oleh kerajaan ketika ini dilihat terlalu terburu-buru seperti disuarakan oleh beberapa pihak?
Saya tidak bersetuju sekiranya ada pihak ingin menghentikan pelaksanaan Padu untuk menunggu sistem ini betul-betul sempurna.
Jika kita lihat, tidak ada sistem yang sempurna dan banyak aplikasi di luar sana sentiasa dikemas kini.
Apa yang penting, kita laksanakan dahulu dan bersedia melakukan penambahbaikan.
Kerajaan boleh dapatkan pengalaman pengguna dan maklum balas daripada mereka amat penting untuk proses penambahbaikan.
Bukan satu amalan untuk menghentikan sebarang sistem yang telah dikomersialkan.














