JIKA didengar suaranya tanpa memandang empunya diri, pasti ramai yang mendakwa pemilik suara itu ialah seorang lelaki dewasa yang macho.
Pun begitu, sebenarnya suara unik dan ‘jantan’ habis itu merupakan milik seorang gadis berusia 22 tahun berasal dari Kluang, Johor.
Puas dituduh sebagai seorang lelaki, tidak kurang juga yang menggelarkannya pondan selain wanita yang teringin menjadi lelaki, Nurnazrah Abd. Samat tampil membuktikan ketulenan jantinanya dengan kad pengenalannya.
Dikenali di media sosial terutama TikTok, ada juga yang mendakwa dia menggunakan aplikasi alih suara dan menyunting suara agar kedengaran seperti lelaki.
Menyelami isi hati gadis manis yang tular sejak Disember ini, Nurnazrah yang merupakan ejen hartanah berkata, dia dilahirkan sebagai seorang perempuan yang cukup sifat dan tidak pernah mengubah kejadian asal.
“Kalau ikutkan, suara saya sebelum ini memang perempuan dan tidak begini (suara jantan).
“Saya perasan ia berubah ketika saya memasuki umur 18 tahun. Semasa umur 17 tahun dah rasa perubahan dan mula garau tetapi ia mengambil masa dan bukan berubah secara drastik seperti yang difikirkan.
“Masa mula berubah serak-serak basah dan akhirnya garau itu saya fikir itu normal dan akan kembali ke suara asal tetapi rupanya ia kekal sampai ke hari ini,” katanya kepada Aura.
Jelasnya, selepas mendapati suaranya ‘sebiji’ suara jantan, dia memberanikan diri bertemu doktor.

di media sosial.
Katanya, doktor mengesahkan suaranya tidak mempunyai masalah, manakala kotak suara dan tonsilnya semua dalam keadaan baik.
“Kalau ditanya, sampai sekarang pun saya tidak tahu kenapa suara boleh berubah macam ini.
“Apabila doktor sudah sahkan ia tiada apa-apa dan tidak berbahaya atau mengancam nyawa, saya reda dan terima sahaja anugerah Allah ini dengan berlapang dada,” ujarnya.
Kongsi Nurnazrah yang lebih mesra disapa Nazrah, dia terfikir mungkin salah satu punca suaranya berubah disebabkan suka menyanyi lagu bernada tinggi.
“Sejak di bangku sekolah, hobi saya memang suka menyanyi. Kebanyakan lagu yang saya suka semuanya bernada tinggi ‘cekik leher’ hingga membuatkan saya terpaksa menjerit.
“Mungkin suara saya pecah dan berubah terus disebabkan itu. Tapi tidak mengapalah, yang penting saya sihat, masih dikurniakan suara dan boleh bercakap,” katanya yang mula dikenali di TikTok.
Akui Nazrah, sehingga ke hari ini, suara uniknya itu masih menjadi modal perbalahan dalam kalangan pengikut walaupun pelbagai bukti telah disertakan sehingga dia terpaksa menunjukkan kad pengenalan.
Pun begitu, ada cerita menarik mengenai kad pengenalan gadis itu sendiri yang kini menjadi ‘penyelamatnya’.
Berkongsi cerita, sebelum ini, dia hanya boleh memohon kerja-kerja kecil iaitu sebagai pembantu dapur di kedai makan kerana tidak memiliki dokumen rasmi iaitu kad pengenalan.
“Saya terpaksa bekerja sebagai pembantu dapur kerana tidak memiliki dokumen rasmi seperti kad pengenalan sebelum ini disebabkan masalah ‘kewarganegaraan’ sejak kecil.
“Saya sebenarnya merupakan anak angkat yang diambil sejak berusia dua tahun dari Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Pahang. Sejak lahir, saya tiada pengenalan diri sampailah berusia 20 tahun, barulah saya ada kad pengenalan dan boleh memohon jawatan lebih baik dan menjamin masa depan,” katanya yang kini seronok mencabar diri bekerja sebagai ejen hartanah.

Nazrah mengakui, kelahirannya sebelum ini tidak didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disebabkan beberapa masalah tertentu yang terjadi.
Kata Nazrah, dia pun hanya mendapat tahu yang dirinya bukan berstatus warganegara ketika mahu mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) disebabkan kesilapan atau kecuaian lampau keluarga kandungnya.
“Jadi, sepanjang saya bersekolah dari sekolah rendah sampailah sekolah menengah, saya berstatus bukan warganegara kerana tidak mempunyai kad pengenalan sah.
“Itu membuatkan saya tidak dapat menikmati kemudahan yang diberikan kerajaan kepada pelajar lain seperti bantuan buku teks, rancangan makanan tambahan, bantuan kewangan apatah lagi biasiswa selain perlu membayar yuran untuk mengambil UPSR dan peperiksaan lain.
“Masa mak dan ayah angkat saya ambil saya di rumah kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyerahkan saya tanpa sebarang dokumen rasmi tetapi keluarga angkat tetap meneruskan niat murni mereka.
“Jadi semasa saya berusia 12 tahun, ibu dan bapa angkat iaitu Zawiah Hashim, 58, dan Abd. Samat Abd. Sawab, 60, ada membawa saya ke JPN untuk permohonan warganegara dan dijanjikan siap dalam dua tahun.
“Namun, mungkin disebabkan pelbagai perkara termasuk masalah dalaman dan luaran, saya hanya berjaya mendapat dan memiliki kad pengenalan pada hujung tahun 2022 ketika berusia 20 tahun,” katanya.
Akui Nazrah lagi, dia langsung tidak kenal dan tahu menahu siapa keluarga kandungnya sampailah ke detik ini.
“Saya bersyukur apabila akhirnya mendapat kad pengenalan ini setelah lapan tahun saya tunggu,” katanya.
Dikurniakan ‘suara lelaki’, Nazrah memberitahu dia tidak pernah merasakan itu satu kekurangan apatah lagi boleh menjatuhkan keyakinannya.
Malah, dia juga tidak pernah ada perancangan dan belum terdesak untuk mengubah kembali suara dengan membuat pembedahan kotak suara atau apa saja untuk mendapatkan semula suara asalnya.
Bekerja sebagai ejen hartanah dengan suara ‘unik’ itu, Nazrah mengakui terdapat beberapa cabaran tersendiri.
“Sebagai ejen hartanah, saya biasanya bekerja di pusat beli-belah mendekati orang ramai yang lalu-lalang.
“Biasalah bila kita pakai tudung tetapi bersuara jantan dan garau mesti bakal pelanggan akan terkejut dan tengok atas bawah saat kita mendekati mereka.
“Ada yang jenis selamba tanya saya ni lelaki ke perempuan. Mana yang percaya, dia akan percayalah.
“Ada juga yang jenis tak percaya berlalu pergi macam itu saja. Tapi lama-kelamaan ‘situasi’ tersebut dapat saya biasakan,” katanya.
Tambahnya, jika ada pun kelebihan bersuara garau, mungkin sesetengah lelaki nakal di luar sana tidak berani mengganggu apabila mendengar suara jantannya itu.
“Saya ni kerja di mall, biasanya balik malam. Pernah saya balik kerja dengan menunggang motosikal, saya dikejar sekumpulan lelaki nakal yang mungkin mahu mengacau saya. Mereka bersiul ke arah saya dan panggil saya dengan gelaran awek. Bila saya jerit dan jerkah dengan suara, barulah mereka cabut lari dan tidak ekori saya lagi,” katanya.
Dikurniakan suara unik itu juga membuatkan ramai pengikutnya menyarankannya mencuba bidang seni suara seperti penyampai radio, penyanyi atau pengacara televisyen.
“Ramai yang cadangkan saya jadi penyampai radio, pelawak, penyanyi, pengacara, tak kurang juga jadi askar, warden penjara dan inspektor polis,” tuturnya.
Menutup bicara, Nazrah mengingatkan, jangan sesekali cari keyakinan kerana paling utama ialah bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan dan berbanggalah dengan apa yang diberikan.














