fbpx

Tiga geng pecah rumah Che Wan didakwa ceroboh, halang tugas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA ahli geng pecah rumah Che Wan ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan melakukan pencerobohan, kurungan salah dan menghalang penjawat awam.

KOTA TINGGI – Tiga ahli geng pecah rumah yang menjadikan sebuah hotel di Desaru, Bandar Penawar di sini sebagai tempat persembunyian berjaya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan melakukan pencerobohan, kurungan salah dan menghalang penjawat awam.

Kesemua tertuduh berkenaan merupakan ahli geng pecah rumah Che Wan mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Ikhwan Mohd Sharif, 33 dan Muhamad Badry Muhamad Azami, 23 pada 21 Disember 2023 pada pukul 11 pagi di inap desa sebuah hotel di Desaru, Bandar Penawar didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan masuk ke bilik penghuni lain dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa dengan sengaja mengurung lima penghuni inap desa secara salah di hotel tersebut pada tarikh dan waktu yang sama.

Pertuduhan ketiga, mereka didakwa menghalang tugas polis kerana enggan membuka pintu bilik untuk mengelak daripada pemeriksaan polis pada tarikh waktu dan lokasi yang sama di mana kesalahan itu boleh didakwa dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khiruddin Khalid manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam turut merayu agar hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan.

Muhammad Fitri menetap hukuman 10 bulan penjara dari tarikh sabitan bagi pertuduhan pertama, bagi pertuduhan kedua hukuman penjara 1 tahun dari tarikh sabitan dan denda RM1,000 jika gagal boleh dipenjara selama tiga bulan.

Bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Fitri menetapkan penjara selama 10 bulan yang akan berjalan selepas hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua selesai dijalankan.

Sementara itu dalam mahkamah sama turut dituduh ketua geng pecah rumah Che Wan, Mohamad Saifuan Mohd. Noor, 33 yang didakwa melakukan khianat merosakkan pintu gelongsor kaca hotel yang sama sehingga menyebabkan kerugian RM500.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 21 Disember 2023 pada pukul 10.26 pagi di hotel yang sama di Desaru, Bandar Penawar dan boleh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang 1 tahun dan tidak lebih 5 tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua dia didakwa melakukan pencerobohan jenayah masuk ke bilik hotel penghuni lain tanpa kebenaran dengan niat melakukan pencerobohan pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menghalang tugasan polis dengan melarikan diri dari pemeriksaan polis pada 22 Disember 2023 pukul 11.30 pagi di belakang bangunan kediaman Laman Desaru, Bandar Penawar.

Tertuduh yang bekerja membantu ibunya berniaga tidak diwakili peguam merayu mahkamah meringankan hukuman kerana masih menanggung seorang anak berusia 12 tahun yang masih bersekolah.

Muhammad Fitri kemudian menetapkan hukuman penjara selama setahun bermula tarikh sabitan bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala pertuduhan ketiga hukuman 10 bulan penjara yang berjalan selepas hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua selesai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI