fbpx

Anak berkomplot dengan rakan sekolah, tipu duit ibu RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Seorang pelajar sekolah menengah sanggup berkomplot dengan rakannya untuk menipu ibunya sendiri sehingga menyebabkan mangsa mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji dan mengalami kerugian RM25,000.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku pada 27 November lalu apabila mangsa yang berusia 58 tahun dan bekerja sebagai pembantu klinik mendapati anak tunggalnya dipanggil Munir, 15 tidak pulang ke rumah beberapa hari.

Katanya, mangsa kemudian berjumpa dengan rakan anaknya dikenali sebagai Acap berusia 17 tahun dan diberitahu kononnya Munir telah ditahan di Balai Polis Seremban, Negeri Sembilan dan memerlukan wang sebanyak RM25,000 untuk dibebaskan.

“Dalam kejadian ini seorang lagi lelaki berusia 29 tahun juga rakan kepada kedua-dua remaja ini telah terlibat dan memainkan peranan menyamar sebagai anggota polis untuk memperdayakan mangsa.

“Pada 29 November lalu pengadu telah pergi ke Tabung Haji cawangan Masjid Tanah dan mengeluarkan wang berjumlah RM25,000 untuk diserahkan secara tunai kepada suspek bernama Acap,” katanya kepada pemberita dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, anak mangsa kemudian telah pulang ke rumah pada 30 November.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, mangsa kemudian telah membuat semakan di balai polis melalui adik iparnya dan hasil semakan mendapati tiada sebarang tangkapan dibuat ke atas Munir.

“Dalam perkara ini mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu dengan suspek bernama Acap dan telah membuat laporan polis pada 2 Disember 2023.

“Pihak polis kemudian telah menahan ketiga-tiga suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI