fbpx

Maik sumbang RM100,000 laksana Hospital Mesra Ibadah di HRPZ II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Mohamad Rizam (kiri) menyerahkan replika cek RM100,000 kepada Timbalan Pengarah Perubatan II HRPZ II merangkap Pengerusi Jawatankuasa HMI HRPZ II, Dr. Tengku Annas Fathy Tengku Ahmad di Kota Bharu hari ini. FOTO IHSAN MAIK

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menyumbangkan sebanyak RM100,000 kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini bagi melaksanakan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI).

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sumbangan itu untuk menyokong usaha menjadikan HRPZ II sebagai hospital pertama di Kelantan mendapat pensijilan HMI.

Menurutnya, peruntukan berkenaan disalurkan kepada Jawatankuasa HMI HRPZ II bagi mewujudkan persekitaran mesra ibadah di samping membolehkan beberapa aktiviti dakwah kesihatan dapat dilaksanakan.

“Melalui peruntukan itu, pihak hospital akan menyediakan sudut HMI di semua wad termasuk unit untuk dijadikan rujukan informasi ibadah, doa dan amalan-amalan penting kepada para pesakit, waris selain anggota kesihatan.

“Selain itu, pihak hospital akan menyediakan kit dan troli ibadah pesakit merangkumi debu tayammum, botol semburan wuduk, sejadah, al-Quran, telekung, tasbih dan buku-buku berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, peruntukan itu juga akan digunakan untuk memperkasakan promosi termasuk kempen kesedaran HMI dalam bentuk kain rentang, gegantung, poster dan risalah HMI yang diedarkan ke semua jabatan.

Katanya, pihak HRPZ II juga akan menaik taraf surau di dalam wad dan klinik dan sistem siar raya di surau utama hospital.

“Selain itu, peruntukan itu digunakan untuk mengadakan bengkel pengurusan ibadah pesakit dan menganjurkan aktiviti keagamaan seperti ceramah atau kursus sempena dengan hari-hari kebesaran Islam.

“Langkah-langkah itu bertepatan dengan misi Maik iaitu memartabatkan Islam, meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran umat Islam Kelantan melalui usaha dakwah, kebajikan selain pembangunan sosioekonomi masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI