fbpx
MENGISI ruang rindu, band Indonesia, Letto membuktikan pengaruh dan kemunculan mereka di Malaysia masih menjadi satu penantian.

Letto balas dendam di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK pengumuman bakal kembali ke Kuala Lumpur sekitar November lalu, ramai peminat tegar Letto sudah mula tidak keruan untuk berebut membeli tiket mahu menyaksikan kemunculan Noe selaku vokalis, Patub (gitar), Cornel (gitar), Widi (keyboard) dan Dhedot (dram) di pentas persembahan.

Buktinya, Zepp KL pada 12 Januari lalu ‘full house’ dibanjiri hampir 2,500 peminat setia band Indonesia itu sempena konsert 20th Anniversary Live in Kuala Lumpur.

Tepat pukul 9 malam, pentas dibuka dengan alunan muzik gamelan Jawa daripada barisan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Jogjakarta, Indonesia bagi mengiringi persembahan Letto sepanjang konsert.

Asyik dan meremangkan, bunyi-bunyian tersebut cukup menjadi introduksi persembahan sebelum sang vokalis, Noe muncul mendendangkan lagu Bird Song, Sebenarnya Cinta sebelum Suci Dalam Debu (nyanyian asal Iklim).

Terharu dengan sambutan hebat, Noe menzahirkan ucapan penghargaan kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong Letto sejak 20 tahun lalu.

BERMULA perlahan, Letto bagaimanapun berjaya membangkitkan keterujaan peminat menerusi rangkaian lagu popularnya seperti Sandaran Hati, Ruang Rindu dan Permintaan Hati.

Mimpi

“Terima kasih untuk semua cinta dan penghargaan untuk Letto selama 20 tahun ini.

“Konsert malam ini ialah mengenai perjalanan kami selama dua dekad. Bermula daripada mimpi, dilabel sebagai band kampung dan kini kami berdiri di sini untuk anda semua,” katanya.

Tidak menunggu lama, Noe seterusnya mula menggamit perasaan rindu peminat dengan menyampaikan salah satu lagu berhantu mereka, Sandaran Hati yang popular sekitar 2006 dan pernah menjadi runut bunyi sinetron Indonesia berjudul, Wulan.
Fatwa Hati, Lubang di Hati dan Kedamaian Hati antara lagu yang mengisi babak kedua sebelum pentas dirancakkan dengan sebuah lagi karya kegilaan ramai, Permintaan Hati.

Semuanya berkisah soal hati. Menariknya, Permintaan Hati dimainkan dalam beberapa versi iaitu metal, dangdut dan Jawa diiringi muzik gamelan.

Noe tidak ubah seperti ‘balas dendam’ selepas lebih 10 tahun tidak beraksi di Malaysia.

Memasuki babak ketiga, Layang-Layang, Senyumanmu dan Kangen Desa menjadi seleksi dendangan sebelum kesemua ahli kumpulan bergilir-gilir menyampaikan sebuah lagu legenda tanah air, Isabella.

Pentas sekali gamat dengan persembahan lagu Truth Cry and Lie, Ruang Rindu dan Sebelum Cahaya yang merupakan lagu terakhir untuk malam konsert.

Dendangan lagu-lagu ‘berhantu’ zaman awal 2000-an cukup menggamit perasaan rindu peminat di Kuala Lumpur yang sudah menanti konsert berskala besar mereka.

Sejujurnya, pemilihan lagu pada malam tersebut sedikit mengecewakan yang adakalanya membuatkan penonton sedikit bosan dengan beberapa buah lagu yang kurang mesra telinga didendangkan pada konsert berskala besar.

KEHADIRAN ‘full house’ di Zepp KL pada 12 Januari lalu membuktikan kemunculan Letto sentiasa dinanti dan dirindui peminat di Malaysia.

Tiada jangkaan

Sempat ditemu bual selepas konsert, Noe memberitahu, mereka tidak meletakkan jangkaan jumlah kehadiran penonton pada malam tersebut.

“Kami dapat tahu Zepp KL ‘full house’, sejujurnya memang tiada sebarang ekspektasi.

“Kami juga tidak sangka masih ramai peminat di Malaysia walaupun usia band ini sudah mencecah dua dekad.

“Sangat terharu melihat respons mereka sepanjang persembahan. Ini semua tanda apresiasi Letto buat peminat di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, anggota Letto, Patub pula berkata, setiap lagu pilihan konsert tersebut mempunyai makna tersendiri yang menggambarkan perjalanan seni Letto selama ini.

“Sangat susah untuk memilih 17 daripada lebih puluhan karya kami.

MENCIPTA kelainan, barisan pemuzik gamelan turut diterbangkan dari Jogjakata bagi mengiringi persembahan Letto pada konsert di Zepp KL baru. – AFIQ RAZALI

“Setiap lagu mempunyai penceritaan tersendiri dan kami harap pemilihan tersebut berjaya memuaskan hati ramai,” tuturnya.

Ditanya, sama ada akan menghadiahkan lagu baharu setanding dengan kehebatan karya seperti Permintaan Hati dan Ruang Rindu, jawapannya, masih tiada.

Bagi Letto, setiap lagu mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak wujud istilah melawan populariti karya terdahulu.

“Masih belum nampak sebarang petanda untuk muncul dengan single baharu.

“Untuk mendapatkan populariti lagu setanding Sandaran Hati atau Sebelum Cahaya, mungkin sukar sebab dunia muzik sentiasa berubah.

“Kami tak mahu, malah tidak pernah ada harapan sebegitu apatah lagi mahu mengejar menjadi viral dalam media sosial.Semua itu tidak wujud dalam kamus kerjaya Letto,” jelasnya.

PERNAH dilabel sebagai band kampung, Letto tidak pernah berkecil hati sebaliknya menjadikan perkara tersebut sebagai semangat untuk terus berkarya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN