fbpx

40 set bubu naga dirampasi di Pulau Talang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bubu naga yang dirampas APMM di Pulau Talang, Lumut semalam. - Foto IHSAN APMM PERAK

LUMUT – Sebanyak 40 set bubu naga dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak di kedudukan sekitar 3.2 batu nautika barat daya Pulau Talang di sini kira-kira pukul 6.53 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, bubu berukuran 10 meter panjang itu dikesan oleh pasukan bot ronda APMM Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sayong, Op Pintas, Op Tanjung dan Op Tiris di perairan Perak.

“Ketika menyusuri kawasan terbabit, bot ronda tersebut melihat pancang kayu yang dipasang bendera diikat bersama pelampung mencurigakan di permukaan air disyaki bubu naga.

“Hasil tinjauan mendapati, pancang kayu berkenaan adalah penanda lokasi bubu naga dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua bubu naga itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Jika seseorang individu tersebut ditahan, beliau boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” katanya.

Mohd. Hambali berkata, penggunaan bubu naga diharamkan oleh Jabatan Perikanan mulai 1 November 2018 kerana sifatnya yang selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

“Bubu naga ini mempunyai banyak injap dan bermata kecil itu bukan sahaja boleh memusnahkan ekosistem serta sumber hasil laut dalam jangka masa panjang, malahan ia menjejaskan pendapatan nelayan terutamanya nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut.

“Pemantauan dan risikan oleh APMM Perak akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah bubu naga daripada terus berleluasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI