fbpx

Institusi TVET China setuju tanggung 1,000 pelajar Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAHID menandatangai plak perasmian Akademi TVET Wanita UTem@KPT (Jelita) di Majlis Perasmian TVET Place & Train UTeM@KPT di UTeM, Durian Tunggal, Melaka. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) China bersetuju untuk menanggung sepenuhnya pengajian 1,000 pelajar Malaysia di negara itu bagi berkongsi pelbagai kemahiran khususnya dalam bidang automotif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdahulu seramai kira-kira 200 pelajar Malaysia telahpun melanjutkan latihan kemahiran di negara itu bagi Program ‘Belt And Road’ di bawah kerjasama Malaysia-China Institute (MCI).

Ujarnya, terbaharu negara republik itu menawarkan tambahan biasiswa kepada 1,000 pelajar Malaysia untuk menjalani latihan kemahiran dalam tempoh antara tiga bulan sehingga satu tahun.

“Tawaran itu adalah untuk 1,000 pelajar terutamanya dalam bidang automotif dan mereka cuma meminta supaya tiket kapal terbang sahaja yang dibiayai oleh pelajar-pelajar.

“Tetapi apa yang telah kami putuskan bahawa Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membiayai tiket penerbangan pergi dan balik untuk pelajar-pelajar TVET kita dan kerajaan China membiayai 100 peratus kursus itu termasuklah penginapan dan lain-lain kos di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program TVET Place & Train UTeM@KPT di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kuota tersebut akan diagihkan kepada institusi-institusi TVET yang ada termasuk UTeM dan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Saya telah mencadangkan agar 1,000 tempat itu dibahagi-bahagikan kepada institusi TVET dan sebab itu kita mahu koordinasikan dengan kerjasama MTUN.

“Pelajar ini nanti akan terlibat dalam pelbagai bidang berteknologi tinggi termasuk kenderaan elektrik (EV), Kecerdasan Buatan (AI) dan Keselamatan Siber,” ujarnya.

Katanya, setakat ini sebanyak 100 buah institusi TVET di negara itu terlibat dengan kerjasama dilakukan dan usahasama itu akan terus dikembangkan menerusi delegasi Malaysia di China. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI