fbpx

Bantuan barangan keperluan asas asnaf kini RM300 sebulan – MAIWP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nizam pada sidang akhbar prestasi dan kutipan zakat PPZ-MAIWP 2023, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menaikkan kadar bantuan barangan keperluan asas buat golongan asnaf daripada RM150 kepada RM300 sebulan bermula tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nizam Yahya berkata, bantuan kewangan dalam bentuk dompet elektronik (e-wallet) itu akan memanfaatkan lebih 30,000 asnaf di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan RM108 juta setahun bagi kenaikan kadar bantuan baharu itu dan ia akan mula disalurkan kepada penerima mulai bulan ini.

“Bantuan barangan keperluan asas itu akan disalurkan menerusi e-wallet kepada ketua keluarga dan ia merupakan bantuan tambahan wang tunai yang diterima mereka setiap bulan.

“Setiap bulan, setiap asnaf di bawah tanggungan MAIWP menerima bantuan kewangan antara RM500 hingga RM1,000,” katanya pada sidang akhbar prestasi dan kutipan zakat PPZ-MAIWP 2023 di sini, hari ini.

Katanya, kenaikan kadar bantuan baharu itu membolehkan setiap asnaf memperoleh sekurang-kurangnya RM1,300 sebulan sekali gus melepasi paras kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar pada sidang akhbar sama berkata, kenaikan kadar baharu itu dibuat seiring situasi ekonomi semasa susulan kenaikan kos sara hidup.

“Justeru, MAIWP menaikkan kadar bantuan barangan keperluan asas kepada RM300 bermula Januari 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI