fbpx

Raih RM15,000 seminggu jual produk tiruan berjenama secara ‘live’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jegan (kiri) memeriksa barangan tiruan berjenama terkenal yang dirampas dalam serbuan di sebuah kediaman elit di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, hari ini.

SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri mampu menikmati gaya hidup mewah apabila meraih pendapatan hingga mencecah RM15,000 seminggu dengan hanya menjual pelbagai produk tiruan berjenama terkenal melalui ‘live’ atau siaran langsung dalam laman sosial.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas sepasukan anggota penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah kediaman elit di Simpang Ampat, Nibong Tebal di sini, petang tadi.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan itu dibuat hasil intipan selama seminggu susulan aduan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang jenama terkenal terbabit.

Katanya, selain pasangan suami isteri warga tempatan yang masing-masing berusia 26 dan 31 tahun itu, pihaknya turut menahan dua pekerja yang ketika itu sedang memunggah barang untuk dijual.

“Modus operandi mereka ialah menjalankan perniagaan dan penjualan produk tiruan berjenama terkenal ini secara dalam talian iaitu melalui ‘live’ dengan menggunakan aplikasi media sosial.

“Siasatan mendapati, barang tersebut akan dibida melalui ‘live’ dan ada yang mencapai harga sehingga RM1,400 (untuk satu produk).

“Kebiasaannya, setiap kali ‘live’ mereka mampu memperoleh sehingga RM5,000 dan dalam seminggu, pasangan tersebut akan ke ‘udara’ sekurang-kurangnya tiga kali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan.

Jegan memberitahu, secara keseluruhannya, KPDN Pulau Pinang telah menyita sebanyak 1,437 unit barangan termasuk beg tangan, dompet, gelang tangan, minyak wangi, tuala dan selimut yang menggunakan cap dagangan berdaftar dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM70,250.

Katanya, antara jenama terkenal itu termasuk Louis VuItton, Chanel, Christian Dior, Gucci, Yves Saint Laurent (YSL) Balenciaga dan Celine yang kesemuanya disyaki palsu.

Jelasnya, kesemua barang berkenaan diambil dari Guangzhou, China untuk pasaran tempatan termasuk menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Berdasarkan siasatan kita, premis yang diserbu ini baru empat bulan beroperasi dan disewa dengan harga RM1,800 sebulan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati, mereka pernah menjalankan perniagaan ini di Parit Buntar (Perak) sebelum ini,” ujarnya kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Beritahu beliau lagi, pihaknya berdepan kesukaran untuk membuat intipan dan serbuan sebelum ini kerana kawalan keselamatan yang tinggi di kawasan perumahan terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI