fbpx

Prebet menyamar Staf Sarjan ceroboh kediaman Panglima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas mengaku bersalah menyamar sebagai Staf Sarjan dan menceroboh Rumah Panglima 3 Divisyen Kem Terendak, Melaka.

MELAKA – Seorang bekas prebet didenda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai Staf Sarjan dan menceroboh Rumah Panglima 3 Divisyen Kem Terendak, Sungai Udang, November tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Fikri Shaiff, 35, yang membuat pengakuan tersebut sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memakai uniform lengkap angkatan tentera berpangkat Staf Sarjan dengan niat bahawa ia mungkin dipercayai tergolong dalam jawatan berpangkat itu.

Perbuatan itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 171 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didapati telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan larangan Rumah Panglima 3 Divisyen seperti termaktub di bawah perintah tetap Markas Garisan Terendak.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau dengan denda atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada pukul 6.09 pagi di Pos Seri Setia Kem Terendak, dalam daerah Melaka Tengah pada 14 November tahun lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh sebelum ini merupakan seorang Staf Sarjan namun telah dilucutkan jawatan itu selepas dikenakan tindakan disiplin.

Tertuduh kemudian diturunkan pangkat kepada prebet dan melakukan kedua-dua kesalahan disabitkan ketika dalam proses untuk diberhentikan kerja.

Pencerobohan yang dilakukan tertuduh di pekarangan Rumah Panglima 3 Divisyen didapati dengan niat hendak menipu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan dia kini dalam proses dokumentasi untuk penamatan tugas, selain perlu menjaga ibu uzur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM400 bagi pertuduhan pertama atau penjara 10 hari jika gagal bayar dan RM2,000 atau penjara sebulan bagi pertuduhan kedua.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI