fbpx
Penghuni PPR yang liat membayar sewa tidak hanya berlaku di Lembah Klang, tetapi di seluruh negara. – GAMBAR HIASAN

Penyewa PPR tak malu duduk free

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Biarpun sewa bulanan yang dikenakan serendah RM100 sahaja, ramai penyewa unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara yang culas untuk membuat bayaran selama bertahun-tahun.

Mereka langsung tidak malu untuk menduduki rumah berkenaan secara percuma, malah ada yang mempunyai tunggakan sewa yang tinggi, sekali gus menyebabkan pihak berkuasa mengalami kerugian jutaan ringgit.

Antara alasan utama yang sering diberikan untuk menangguh bayaran sewa adalah masalah kewangan, menghidap penyakit kronik, hilang pekerjaan dan krisis rumah tangga.

Di George Town, terdapat dua PPR iaitu di Jalan Sungai, Sungai Pinang dan PPR Ampangan di Ampang Jajar yang masing-ma­sing diselia oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Maj­lis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, jumlah hutang sewa aktif yang tertunggak di PPR Jalan Sungai sejak 2022 adalah sebanyak RM106,514.

Menurutnya, jumlah keseluruhan tunggakan di PPR Ampangan pula setakat 31 Disember tahun lalu berjumlah RM14,900.

“Dalam menguruskan penyewaan PPR Ampangan, MBSP menghadapi cabaran apabila penyewa-penyewa PPR telah gagal menjelaskan bayaran sewaan sebanyak RM100 sebulan mengikut jadual,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, antara tindakan yang diambil terhadap penyewa culas seperti mengeluarkan notis peringatan bayaran sewa, notis lucut hak, kutipan sewa dari rumah ke rumah dan tindakan perundangan di mahkamah.

Di Ipoh, jumlah tunggakan sewa terkumpul di 16 buah PPR di negeri ini mencecah RM1,420,761 pada Januari 2023.

Difahamkan, kadar sewa yang dikenakan antara RM100 sehingga RM124 sebulan mengikut jenis kediaman pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng. Shy Ching berkata, tunggakan sewa merupakan isu utama dan cabaran yang dihadapi di kesemua 16 PPR itu.

Katanya, setakat November tahun lalu, purata peratus hasil kutipan bulanan adalah seba­nyak 59.2 peratus, yang merupakan suatu angka yang masih banyak ruang untuk penambahbaikan.

“Pemantauan dan kajian mendapati, sebahagian daripada kes tunggakan berpunca daripada kemampuan kewangan penyewa.

“Bagaimanapun, tidak dina­fikan terdapat juga pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk tidak membayar meskipun mampu,” ujarnya.

Menurutnya, jumlah tunggakan sewa telah berjaya dikurangkan sehingga RM844,782 pada November tahun lalu oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

“Bayaran sewa penting kerana PPR memerlukan keadaan kewangan yang stabil dan sihat bagi menjalankan penyelenggaraan dan pembangunan,” jelasnya.

Tambah beliau, bermula tahun ini, LPHP akan menguatkuasakan dasar baharu iaitu pada setiap kali pembaharuan kontrak sewa, kadar sewa akan dinaikkan.

“PPR sebenarnya merupakan konsep rumah transit untuk memberi kemudahan perumahan secara sementara kepada golongan berkeperluan.

“Kadar sewa yang jauh lebih rendah daripada pasaran menyebabkan penyewa enggan keluar dan ini menyebabkan masa menunggu bagi pemohon baharu telah berganda,” katanya.

Di Kuala Terengganu, isu liat membayar sewa bulanan tidak terkecuali di Terengganu de­ngan tunggakan di PPR Hiliran mencecah RM1.3 juta.

Segelintir daripada 978 penyewa PPR itu culas walaupun kadar sewa bulanan cuma RM174.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Datuk Wan Adnan Wan Derahman berkata, masalah tunggakan dihadapi anak syarikatnya, PMINT Urus Sdn. Bhd. (PUSB) sebagai badan pengurusan sejak 2016.

Beliau berkata, isu tunggakan tersebut sedikit sebanyak merencatkan badan pengurusan untuk menceriakan dan membaiki kemudahan di PPR terbabit ekoran kekurangan dana.

“Biasanya kita akan mengeluarkan notis tunggakan kepada penyewa yang terlibat sebanyak empat kali setahun sebagai peringatan,” katanya.

Beliau memberitahu, tindakan paling tegas adalah melaksanakan pemotongan bekalan air serta-merta bagi penyewa yang mempunyai tunggakan melebihi tiga bulan.

“Biasanya mereka boleh pula membayar segera tunggakan bagi memastikan bekalan air yang dipotong disambung semula.

“Begitupun, setakat ini, kita masih belum berhasrat untuk mengambil langkah menghalau mana-mana penyewa bermasalah,” katanya.

Di Seremban, Ahli Dewan Undangan Negeri Lobak, Chew Seh Yong sebelum ini dilapor­kan berkata, sebahagian penyewa PPR Lobak dikesan menduduki kediaman berkenaan secara percuma.

Difahamkan, tunggakan ke­seluruhan 131 unit itu kini kira-kira RM1 juta sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, terdapat penyewa yang mempunyai tunggakan le­bih RM30,000, sedangkan sewa di penempatan berkenaan hanya RM100 sebulan, manakala RM50 untuk penyelenggaraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN