fbpx
Rekaan kodo Mazda 3 kini tampak lebih mantap.

Mazda 3 ‘hangatkan’ saingan segmen C

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KERETA segmen C untuk pasaran Malaysia agak kurang pilihan jika dibandingkan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV).

Sejak trend pembeli-pembeli mula memilih SUV sebagai kenderaan pilihan berbanding kereta sedan, banyak syarikat automotif lebih banyak menawarkan model-model SUV.

Antara jenama yang masih menjual kereta segmen C seperti Proton, Toyota, Honda, Volkswagen dan Mazda.

Pada minggu lalu, penulis telah diberi peluang untuk memandu uji Mazda 3 Liftback varian High Plus selama beberapa hari. Mazda 3 tersebut merupakan kemasan terkini yang dilancarkan sekitar Oktober tahun lalu.

Dari sudut luaran, penulis melihat rekaan ‘kodo’ kereta segmen C itu semakin mantap dan lebih ‘kacak’ daripada sebelum ini. Jeriji gril besar dengan kemasan gelap berkilatnya memberikan aura sporty.

Rekaan sisinya menyerlah dengan penggunaan rim bersaiz 18 inci.

Lampu hadapan yang mengapit jeriji gril itu pula menyuntik imej garang. Pada bahagian sisi, rim bersaiz 18 inci dengan warna gelap menaikkan seri tona pada sisinya.

Sebelah belakang pula, lampu LED dengan dua jejari bulat memberi imej tersendiri ditambah pula dua corong ekzos.

Ciri-ciri menarik lain ialah model ini juga hadir dengan bumbung suria.

Model ini menggunakan enjin Skyactiv G 2.0 liter dan transmisi Skyactiv Drive enam kelajuan automatik dengan mod manual.

Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 162hp pada 6,000rpm dan tork tertinggi 213Nm ketika 4,000rpm.

Tangki petrol Mazda 3 ini bersaiz 51 liter, manakala berat kenderaan ini pula ialah 1,403 kilogram.

Dari sudut pemanduan, tahap prestasi dan kendaliannya memang patut diberi pujian kerana sangat memuaskan. Karakter Mazda 3 Liftback ini seakan sebuah kereta sport.

Masuk ke ruang kabin, model diimport sepenuhnya (CBU) ini tampil dengan rekaan sesedap mata memandang dan tidak terlalu futuristik.

Setiap butang berfungsi dengan baik dan mudah dicapai. Secara jujurnya, penulis suka rekaan dalamannya kerana tidak terlalu kompleks sehingga merumitkan pemandu.

Sistem infotainment dengan ketersambungan tanpa wayar untuk Apple CarPlay dan alunan muzik dapat didengar sedap melalui lapan speaker.

Rekaan dalaman yang didominasi warna hitam memudahkan penjagaan.

Penggunaan warna gelap untuk ruang dalaman model ini memberikan satu kelebihan kerana mudah untuk dijaga selain nampak sporty.

Dari sudut keselamatan pula, model ini hadir dengan Mazda i-Activsense seperti Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif (AFS), Kawalan Lampu Tinggi, Pemantauan Titik Buta (BSM) dan sebagainya.

Kesimpulannya, saya melihat Mazda 3 ini merupakan pilihan kepada pembeli-pembeli yang inginkan sebuah kereta segmen C seperti Honda Civic, Toyota Altis dan Volkswagen Golf.

Anda boleh cuba pandu uji sendiri mana tahu berkenan dengan model ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN