fbpx
BUAT pertama kali, Fazura berlakon di samping suami tersayang, Fattah Amin di layar perak menerusi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Fazura pertajam tajwid al-Quran demi tuntutan filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH lama sebenarnya khalayak tidak dijamu dengan kualiti lakonan Nur Fazura dalam mana-mana filem mahupun drama sejak beberapa tahun ini.

Status isteri, ibu dan tambahan pula cabang karier lebih tertumpu terhadap perniagaan terlebih dahulu menjadi keutamaan jadual hidup Fazura.

Banyak kali menggelengkan kepala kepada naskhah yang disua ramai sutradara, ternyata pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin itu tidak mampu berbuat perkara sama apabila ditawarkan watak ketua srikandi dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Mengakui watak unik dan mencabar sedemikian belum pernah digalas, si cantik itu mencabar diri menjayakan karakter Sayang yang sedikit sebanyak selari dengan pendirian hidupnya sebagai wanita perkasa.

Bersungguh-sungguh menjayakan karakter, filem berkisar perjuangan Tok Gajah bersama pahlawan tempatan menentang serangan penjajah British itu menjadi medan buat Fazura menampilkan sisi berbeza dalam lakonan.

“Saya suka cabaran, ini adalah sesuatu yang baharu dan belum pernah saya buat, selalunya asyik ditawarkan watak cinta saja, kali ini ada juga soal cinta tapi naratif dan pengembangan watak berbeza, ini saya suka.

“Watak ini sangat kuat, tidak lari jauh daripada sifat azali saya iaitu seorang pejuang dan wanita yang kuat secara semula jadi.

Kata Fazura, penglibatannya dalam Pendekar Awang: Darah Indera Gajah adalah disebabkan karya tersebut tidak bersifat klise.

“Walaupun mencabar, naskhah ini adalah hadiah buat peminat yang sudah lama menantikan kemunculan saya di layar lebar selain dapat menyaksikan sisi lain lakonan dan watak yang saya bawa,” ujarnya.

Selain itu, terdapat babak menuntutnya mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran, Fazura mengakui sangat berhati-hati dan merujuk dengan beberapa guru mengaji dan pakar tajwid di set penggambaran.

“Banyak kali juga lakukan babak mengaji sebab perlu menangis dan setiap butir bacaan kena betul. Tak mahu nanti timbul isu.

“Mujur di set penggambaran ada beberapa guru mengaji, saya rujuk dan bertanya tentang tajwid dan cara bacaan sepatutnya.

“Perkara yang melibatkan agama kena buat betul-betul, bimbang nanti jadi isu dan contoh tidak baik kepada penonton, sekali gus tidak selari dengan keperibadian seorang srikandi,” tuturnya serius.

Bercakap tentang kerjasama dengan suaminya, Fattah Amin yang juga pemegang watak utama dalam naskhah berkenaan, pelakon berusia 41 tahun itu mengakui teruja, namun pada masa sama tetap profesional.

Lakonan di sisi suami

Menyifatkan peluang tersebut bagai bulan jatuh ke riba, dengan watak sarat semangat, lebih bermakna itulah gandingan pertama kali pula dengan Fattah di layar perak selepas mereka mendirikan rumah tangga.

“Saya teruja dan gembira berlakon dalam naskhah ini, apatah lagi bergandingan dengan suami sendiri, satu pengalaman yang berbeza.

“Ini kali pertama saya bergandingan dengan Fattah dalam filem sebagai suami isteri. Kalau drama, kali terakhir kami berlakon bersama Hero Seorang Cinderella, agak lama juga,” tuturnya.

Paling penting kata Fazura, status mereka sebagai suami isteri dalam dunia nyata menghidupkan lagi alur cerita dalam filem seperti yang dituntut pengarah.

“Alhamdulillah, dengan adanya kami atas kapasiti suami isteri, Fattah tidak perlu pegang perempuan lain dan begitulah sebaliknya.

“Sebenarnya perkara ini memudahkan perjalanan watak, nanti janggal pula penonton tengok babak suami isteri tetapi tidak bersentuhan, jadi kami yang sememangnya halal ini menghidupkan lagi alur cerita itu,” jelasnya panjang lebar.

Risau alami kecederaan

Kendatipun teruja membawa watak tidak klise, anak jati Pekan, Pahang itu tetap gementar apabila perlu ada babak menunggang kuda yang boleh mendatangkan risiko kecederaan. Paling ditakuti kecederaan bahagian peranakan sekiranya terjatuh.

Ujar Fazura, seandainya perkara itu berlaku peluang untuk mendapatkan zuriat pada masa akan datang mungkin terjejas.

FAZURA berkata, watak Sayang dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah membuatkan dirinya kembali bersemangat untuk berlakon filem.

“Memang setiap hari saya berdoa tidak terjatuh apabila menunggang kuda kerana bimbang peranakan terjejas dan tak dapat menimang cahaya mata lagi selepas ini.

“Saya pun pesan kepada adik-adik (pelakon wanita) lain supaya berhati-hati sebab kita tidak tahu apa yang bakal berlaku.

“Mujurlah semuanya berjalan lancar. Saya sendiri ada pengalaman menunggang kuda semasa kecil, jadi ada keserasian dengan kuda yang ditunggang itu,” kongsinya.

Begitupun, ibu kepada seorang anak itu menafikan dirinya kini berbadan dua meski bersungguh-sungguh meluahkan kerisauan sewaktu penggambaran.

“Buat masa ini bukan berita hamil yang ingin dikongsi. Saya dan Fattah mengambil langkah merancang keluarga kerana kesibukan kami.

“Lagi pun, kami perlu patuh dengan kontrak yang sudah ditandatangani, kalau boleh tak mahulah hamil dalam keadaan terikat dengan kerja.

“Ketika mengandungkan Fatimah dulu saya pernah terlantar atas katil selama tiga bulan sebab alahan, tak mahulah disebabkan hamil, komitmen terhadap kerja terjejas,” ujarnya seraya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN