fbpx

Faktor genetik punca kulit kering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGGUNAAN krim pelembap boleh mengatasi masalah kulit kering. – Gambar hiasan

KULIT adalah organ terbesar pada tubuh badan manusia dan merupakan pelindung kepada organ dalaman.

Ia juga berperanan mengelak sebarang kecederaan termasuk memberi perlindungan daripada jangkitan kuman.

Kulit juga bertindak melindungi tubuh daripada terdedah kepada persekitaran seperti cuaca ekstrem dan mengawal suhu badan.

Selain itu, kulit berfungsi mengesan deria rasa berbeza seperti sejuk, panas dan sakit, selain menjaga kesihatan dan kelembapan kulit.

Umum mengetahui bahawa menjaga kelembapan kulit amatlah penting.

Ini kerana, kekeringan kulit disebabkan penyahhidratan akan memberi impak besar, bukan sahaja dari segi fizikal, malah menjejaskan kehidupan seseorang individu.

Pakar Perunding Dermatologi dari Pusat Perubatan Sunway, Dr. Felix Yap Boon Bin berkata, kekurangan air atau penyahhidratan kulit akan mengakibatkan masalah kulit kering dan menyebabkan ia mengelupas, merekah, kerengsaan, kegatalan dan sensitif.

Menurutnya, kebiasaannya, kita garu apabila gatal dan kekerapan menggaru akan merosakkan lapisan pertama kulit iaitu epidermis sehingga menyebabkannya semakin menipis.

“Kulit manusia terdiri daripada tiga lapisan iaitu epidermis di mana ia adalah lapisan paling luar kulit.

“Ia bertanggungjawab untuk menghalang air dan memberi warna atau tona pada kulit.

“Dermis pula lapisan bawah epidermis yang mengandungi saraf, tisu penghubung yang kuat serta folikel rambut.

“Manakala, hipodermis adalah lapisan paling dalam iaitu tisu subkutan yang kaya dengan lemak dan mempunyai protein.

“Ia boleh membantu tisu kulit kembali ke bentuk asal selepas diregangkan,” katanya.

Tambahnya, apabila epidermis terjejas, kuman dan debu akan menyerap masuk ke lapisan kedua kulit atau dermis sehingga menyebabkan keradangan, selain mendatangkan masalah kulit lain seperti ekzema serta psoriasis.

DR. FELIX

Mengulas lanjut, Dr. Felix menjelaskan, lazimnya, kekeringan kulit berpunca daripada faktor genetik seperti sesetengah orang yang dilahirkan tanpa lapisan pelindung kulit sehingga menyebabkan kulit mereka mudah dehidrasi.

Selain itu, pemilihan atau penggunaan produk antara faktor kulit menjadi kering.

Sebagai contoh, kekerapan menggunakan skrub badan atau menggunakan sabun atau pencuci badan pada paras pH lebih tinggi, iaitu melebihi tujuh.

“Dari segi persekitaran pula, berada dalam bilik yang mempunyai pendingin hawa dan di bawah matahari terik untuk tempoh masa panjang juga akan menyebabkan kulit menjadi kering.

“Oleh itu, bagi mengelakkan kulit menjadi kering, sapuan krim pelembab merupakan langkah yang praktikal bagi memastikan kulit sihat dan mempunyai tahap penghidratan baik.

“Sekiranya kekeringan kulit berada pada tahap serius, anda digalakkan untuk menggunakan krim pelembap jenis perubatan,” terangnya.

Oleh itu, Dr. Felix mengingatkan orang ramai supaya mengetahui jenis kulit sendiri sebelum memilih produk bagi memastikan ia sesuai digunakan untuk jangka masa panjang.

Terangnya, bagi kulit jenis kering, krim pelembap berasaskan minyak lebih sesuai digunakan.

Ujarnya lagi, kandungan minyak di dalamnya akan melembapkan kulit dan mengurangkan kegatalan atau mengelupas, manakala kulit jenis berminyak pula boleh memilih krim pelembab jenis kawalan minyak bagi mengelakkan pertumbuhan jerawat.

“Bagi kulit jenis sensitif pula, mereka disarankan menggunakan krim pelembap khas untuk kulit sensitif iaitu produk jenis tanpa bau atau bahan kimia yang dihasilkan oleh jenama perubatan diiktiraf.

“Jika tidak pasti jenis produk yang sesuai digunakan, saya mencadangkan penggunaan pek sampel terlebih dahulu bagi memastikan produk yang dipilih adalah bersesuaian dengan jenis kulit,” terangnya.

Mengulas lanjut, Dr. Felix berkata, ramai orang beranggapan bahawa dengan meminum air yang banyak dan kerap makan sayur-sayuran akan membuatkan kulit kekal hidrat.

Bagaimanapun, tanggapan tersebut adalah tidak tepat sama sekali.

“Kekurangan air dalam tubuh badan sememangnya akan menjejaskan kualiti kulit, namun minum air yang banyak pada satu-satu masa sebenarnya tidak membantu kulit untuk kekal hidrat.

“Makan sayur yang banyak tidak semestinya membantu untuk menghidrasi kulit.

“Hal ini kerana penjagaan kulit memerlukan makanan atau diet seimbang iaitu pelbagai nutrisi dan bukan hanya fokus kepada sayur-sayuran,” katanya.

Selain mengenali jenis kulit sendiri, beliau mengingatkan orang ramai bahawa gaya hidup dan amalan hidup sihat penting untuk menjamin keseimbangan air dalam lapisan kulit.

Perlu diingatkan bahawa rehat dan tidur yang mencukupi serta berkualiti dapat melindungi kulit.

Sebagai contoh, tidur tujuh jam sehari dan mempunyai waktu tidur konsisten, seboleh-bolehnya sebelum pukul 12 tengah malam.

“Selain itu, menjalani aktiviti sukan dengan kerap penting bagi meningkatkan sistem imuniti kerana tahap imuniti rendah akan mendatangkan penyakit kulit.

“Kandungan air di dalam kulit juga akan semakin berkurangan apabila usia seseorang individu semakin meningkat.

“Bermula dari umur antara 40 hingga 50 tahun, lapisan pelindung kulit akan menjadi semakin nipis dan kecekapannya memerangkap air juga menjadi semakin rendah,” terangnya.

Nasihatnya, orang ramai jangan memandang remeh tentang soal penjagaan kulit dan seboleh-bolehnya jaga dari peringkat awal untuk menghindari masalah berkenaan pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI