fbpx
Sebaik dibebaskan daripada penjara pada 28 Disember lalu, Gypsy Rose Blanchard diangkat netizen seperti wira dan selebriti dengan jumlah pengikutnya di media sosial melonjak mendadak selain tampil di karpet merah sebuah acara baru-baru ini.

Gypsy Rose Blanchard pembunuh ibu diangkat netizen sebagai wira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKATAAN ‘plot twist’ sering kali digunakan untuk menggambarkan perjalanan kisah yang penuh dengan kejutan.

Demikian perkataan sesuai untuk menggambarkan tentang kehidupan seorang wanita dari Missouri, Amerika Syarikat bernama Gypsy Rose Blanchard.

Sebaik sahaja wanita berusia 32 tahun itu dibebaskan dari penjara pada 28 Disember lalu, namanya kembali menjadi sebutan.

Jumlah pengikut akaun Instagram dan TikTok miliknya turut melonjak ke angka 7.8 juta dan 8.8 juta dalam jangka masa singkat.

Muat naik gambar pertama Gypsy di laman media sosialnya menerima beribu-ribu komen yang meraikan ‘kepulangannya’ dengan kata-kata sokongan.

Kini, Gypsy bagaikan selebriti apabila sering kali di temu bual bersama suami, Ryan Scott Anderson yang dinikahi ketika masih dalam penjara.

Malah, pasangan tersebut membuat penampilan di karpet merah sempena tayangan perdana siri dokumentari bertajuk, Lifetime The Prison Confessions of Gypsy Rose Blanchard di New York pada 5 Januari lalu.

Jika difikirkan, sambutan tersebut agak aneh bagi seorang yang mengaku bersalah atas pembunuhan peringkat kedua terhadap ibu kandung sendiri, Clauddine ‘Dee Dee’ Blanchard di Missouri pada 2015.

Menurut penulis kanan di laman media senior Rolling Stone, Ej Dickson, simpati yang diterima Gypsy membuktikan bahawa masyarakat umum memiliki pendekatan sangat tidak konsisten terhadap pesalah jenayah.

“Lazimnya, masyarakat akan lebih cenderung menolak sebarang tingkah laku jenayah. Berbeza dengan isu ini.

“Kadangkala, kita cuba memahami perkara yang tidak masuk akal dengan membina naratif sendiri.

“Seperti kes ini, seorang pembunuh bertukar menjadi wira,” katanya.

Untuk rekod, Gypsy telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Pusat Pemulihan Chillicothe di bandar Chilicothe, Missouri pada 2016 sebelum dipendekkan menjadi lapan tahun setengah.

Pelbagai jenis prosedur perubatan perlu dilalui oleh Gypsy kerana penipuan ibunya.

Gypsy disabitkan kesalahan di atas memberi arahan kepada teman lelakinya pada ketika itu, Nicholas Godejohn untuk membunuh ibunya.

Motif pembunuhan tersebut dilakukan adalah supaya mereka boleh bersama sebagai pasangan kekasih setelah hubungan itu dihalang Dee Dee.

Demi membebaskan kekasih daripada ‘cengkaman’ sang ibu, lelaki yang didiagnosis dengan gangguan spektrum autisme itu menikam Dee Dee bertubi-tubi sehingga mati.

Kisah percintaan bak ‘Bonnie and Clyde’ itu tidak berkesudahan dengan baik kerana Gypsy kini bebas dan hidup bahagia bersama suaminya.

Sementara itu, Godejohn masih di dalam penjara setelah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Menurut Gypsy, mereka tidak boleh berhubung kerana itu merupakan sebahagian daripada syarat parol (pembebasan awal) buatnya.

“Selain daripada syarat parol, saya juga tidak mahu berhubung dengannya. Saya akui bertanggungjawab kerana meletakkan dia dalam situasi ini.

“Namun, dia sendiri bersetuju untuk melakukan pembunuhan.

“Kini, saya sudah jalani hukuman saya dan dia perlu menjalani hukumannya,” katanya ketika ditemu bual The People.

Aneh bagi kes pembunuhan tersebut, tindakan mereka dikesan setelah Gypsy mengumumkan kematian ibunya di akaun Facebook.

Dia melakukan hal tersebut setelah mengikut Godejohn pulang ke kediamannya di Wisconsin sehingga polis dapat menjejaki kedudukan mereka berdasarkan alamat Protokol Internet (IP).

Mengimbau kembali situasi pembunuhan tersebut, Gypsy berharap, dia dapat menyumbat ibunya ke penjara berbanding membunuh.

“Tiada siapa akan dengar jika saya bangga dengan apa yang dilakukan atau saya gembira kerana ibu sudah mati.

“Saya tidak bangga dengan apa yang saya lakukan. Saya menyesalinya setiap hari,” katanya yang hanya mengetahui dirinya mangsa manipulasi ibunya ketika sesi perbicaraan.

Bukan Gypsy sahaja terkejut dengan pembongkaran tersebut, malah seluruh Amerika Syarikat tertarik dengan perjalanan kes.

Gypsy dikenali umum sebagai seorang yang menderita penyakit distrofi otot, epilepsi dan leukemia sejak zaman kanak-kanaknya.

Namun, kanak-kanak yang sering mendapat bantuan orang awam itu kini bukan sahaja mampu berjalan, malah kelihatan normal di dalam kandang perbicaraan.

Berdasarkan kenyataan peguam pembelaan Gypsy, Mike Stanfield, mereka menemui pelbagai bukti mengejutkan ketika menyiasat kes itu.

“Setiap sudut rumah mereka sangat berselerak.

“Namun, deretan ubat-ubat untuk Gypsy sangat tersusun rapi mengikut jenis penggunaan.

“Perkara itu merupakan petunjuk awal kepada masalah yang lebih serius. Banyak fakta terbongkar berdasarkan keadaan itu,” katanya.

Hasil pemeriksaan kesihatan juga mendapati, Gypsy tidak pernah ada sebarang penyakit yang dinyatakan Dee Dee selama ini.

Gambaran tentang kelicikan Dee Dee semakin jelas setelah bapa kandung Gypsy, Rod Blanchard dan isteri baharunya, Kristy Blanchard meneliti dokumen yang diperoleh di kediaman Gypsy bersama ibunya.

Rupa-rupanya, Dee Dee yang pernah bekerja sebagai jururawat itu berjaya menipu sebuah yayasan bagi menampung kehidupan mereka.

Turut terbongkar, Dee Dee didapati sanggup memalsukan sijil kelahiran anaknya itu dengan menukar tahun kelahirannya dari 1991 kepada 1995.

Dee Dee juga mengakui semua dokumen itu musnah akibat Taufan Katrina yang meranapkan kediaman mereka, sebelum sebuah rumah baharu diberikan.

Walaupun penyakit dan dokumen Gypsy palsu, namun pil yang diambil dan prosedur dilalui sepanjang hidupnya adalah nyata.

Ini termasuk beberapa pembedahan gastrousus, pembedahan mata dan pembuangan kelenjar air liurnya.

Bekas pakar neurologi Gypsy, Dr. Bernardo Flasterstein berkata, keraguannya terhadap kenyataan Dee Dee telah menyebabkan wanita itu tidak lagi menggunakan khidmatnya.

“Oleh kerana mereka menerima bantuan kebajikan, jadi tidak ada keperluan untuk melakukan siasatan lanjut.

“Saya percaya Gypsy mengalami penyakit mental Munchausen melalui proksi.

“Keadaan itu bermaksud, penjaga mencipta ilusi penyakit anaknya demi perhatian.

“Sementara itu, Gypsy sebagai anak percaya dengan ilusi berkenaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN