ANTARA tanggungjawab dan nilai komersial, aktor Nadhir Nasar menyifatkan langkah pertama di layar perak menerusi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah ibarat serampang dua mata.
Dalam memberi hiburan kaki wayang, naskhah berkisar perjuangan Tok Gajah bersama anak tempatan menentang kemaraan penjajah menjadi medan untuknya berkongsi kisah di sebalik sejarah.
Tidak hairan apabila pemilik nama lengkap Ahmad Nadhir Ahmad Nasar itu bersungguh-sungguh mendalami karakter Tahir biarpun penampilan watak tersebut sekadar fiksyen.
“Saya menerima naskah filem itu pada September 2022 dan cuba menghadam watak serta perwatakan adik kepada panglima Awang lakonan Fattah Amin supaya mampu menjiwai karakter itu.
“Sudah semestinya mencabar kerana Tahir digambarkan keras hati, namun sarat semangat patriotisme yang bersemarak dalam era terbabit.

“Saya teruja kerana dalam menawarkan hiburan, Studio Kembara selaku penerbit menyuntik semangat rakyat Malaysia menerusi pengisian kisah sebegini terutama generasi muda yang boleh mendapatkan gambaran situasi lampau,” kata Nadhir, 28.
Ulasnya watak Tahir umpama ‘saintis’ muda pada era itu banyak mengajarnya bagaimana untuk melawan penjajah yang bukan hanya menggunakan tenaga fizikal sebaliknya, kepintaran.
“Watak Tahir lain, kerana dia percaya ilmu sains boleh menewaskan pihak lawan kerana dia turut digambarkan pandai membuat bom sebagai senjata tambahan.
“Kekuatan fizikal saja tidak mencukupi tanpa semangat cintakan tanah tumpah darah selain penyatuan seluruh masyarakat dalam mempertahankan tanah tumpah darah.
“Pengisian cerita filem ini yang istimewa juga mencetuskan rasa teruja dan lebih bersemangat mencabar diri membawakan watak lain,” tambahnya.

Dalami silat, guna senjata
Mengakui belajar silat dan menggunakan senjata beberapa bulan sebelum masuk set, dedah juara Hero Remaja 2020 itu kemalangan kecil masih tidak dapat dielakkan.
Mengalami kecederaan pada kaki kiri iaitu lebam akibat kesilapan sendiri sedikit pun perkara tersebut tidak mengganggu kelancaran penggambaran filem terbabit.
Malah kongsi Nadhir, gara-gara perlu menggunakan senjata dalam babak pertarungan membuatkan ibunya dihambat kebimbangan.
“Sebenarnya ketika penggambaran sebelum ini pun mak saya ada hubungi tanya keadaan, tetapi untuk filem ini lebih kerap sebab dia risau.
“Saya kena gunakan sejenis senjata iaitu badik, cuma disebabkan ada koreografer untuk adegan pertarungan semuanya berjalan lancar.
“Kalau ada pun perkara tidak diingini hanyalah kecederaan ringan membabitkan kaki yang tidak memerlukan saya berehat panjang. Alhamdulillah,” ujarnya.

Hormati Fattah
Ketika diusik pertanyaan menenggelamkan lakonan Fattah selaku teraju utama Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, dia hanya menganggap komen sebegitu sebagai tanggapan rambang.
Padanya, aktor berpengalaman itu tetap merupakan seorang hero yang memperkasakan lagi keistimewaan naskhah berkenaan.
Kongsi jejaka yang dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat itu, kredibiliti serta kesungguhan Fattah semakin membuatkannya menghormati aktor terbabit.
“Setiap orang ada pandangan, namun saya tetap melihat Fattah sebagai kekuatan naskhah ini yang memiliki aura, terutama dalam babak pertarungan silat bersenjata dan memanah.
“Kami juga banyak berbincang demi menghidupkan watak, malah tiada niat pun mahu bersaing atau mengatasi sesiapa kerana semuanya berkait rapat.
“Saya, Fattah dan para pelakon lain saling memerlukan,” katanya yang mengakui bertuah dikelilingi ramai bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su, Amerul Affendi, Hasnol Rahmat, Nur Fazura serta Amir Ahnaf.
Sekuel filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Saiful Reza Shukor dan Shaharudin Mat Dali tersebut bakal ditayangkan di 147 pawagam bermula pada 11 Januari ini.

Ditolak lebih 10 kali
Ditanya harapan bersempena kehadiran tahun baharu, dia teringin diberikan kepercayaan untuk menggalas karakter lain sekali gus menjadikannya lebih versatil.
Pernah melalui episod duka apabila ditolak hanya disebabkan tidak mempunyai pengikut media sosial yang ramai, sampai ke tahap sekarang, Nadhir seboleh-bolehnya mahu mengikis penyakit industri yang satu itu.
“Saya pernah berdepan pengalaman ditolak lebih 10 kali oleh stesen televisyen atas alasan pengikut laman sosial saya tidak sebanyak seperti aktor lain yang seangkatan.
“Jadi dari situ saya kena lipat gandakan usaha untuk bagi hasil kerja terbaik dan membuktikan khalayak mengikuti lakonan kita bukan kerana pengaruh dalam platform maya.
“Apa pun, pokok pangkalnya usaha serta jangan cepat putus asa. Lakonan adalah nadi saya, kerana itu saya anggap cabaran sebagai ujian untuk melihat sejauh mana saya mampu berlari,” tuturnya sarat pengertian tersendiri.















