TAK makan nasi ke?
Walaupun sudah hampir 17 tahun berlalu, tajuk berita akhbar tempatan ini masih lagi segar dan kekal menghantui peminat bola sepak tempatan khususnya bagi pemain yang berada dalam skuad Piala Asia 2007.
Frasa itu tercetus selepas Malaysia yang hadir selaku tuan rumah bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia memulakan aksi pembukaan Kumpulan C dengan nota kekalahan memalukan apabila dibelasah China 1-5 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Lebih parah apabila skuad ketika itu yang dibarisi deretan bintang seperti Rosdi Talib, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Fadzli Saari, Hairuddin Omar, Shukor Adan dan Fauzie Nan bolos 12 kali dan hanya mampu menjaringkan satu gol.
Ia dianggap tragedi dan tidak keterlaluan untuk mengatakan insiden berkenaan sudah melekat dalam hati penyokong.
Kata orang, sejarah tidak pernah menipu, tidak boleh diubah dan tidak boleh dijadikan sebab bagi menuding jari kepada pemain, sebaliknya wajar dijadikan pengajaran buat generasi sekarang.
Namun, lirik-lirik lagu Doa Buat Kekasih nyanyian penyanyi legenda negara Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Ramli Sarip sudah menceritakan misi serta visi Harimau Malaya untuk mencipta cerita baharu dalam buku teks bola sepak negara.
“Kita lupakan dulu tentang barisan pemain, strategi, taktikal atau kekuatan pasukan lawan kerana fokus utama adalah latihan serta pemulihan. Tak guna ‘sembang’ pasal semua ini jika pemain gagal persiapkan diri mereka dan menjadikan keberadaan mereka di Doha sebagai cuti hujung musim.
“Walaupun Harimau Malaya akan bermain hanya tiga perlawanan di peringkat kumpulan, diharapkan para pemain mempersiapkan diri mereka lebih daripada itu. Mereka harus berfikiran dari segi mental dan persiapan fizikal untuk bermain lebih daripada tiga perlawanan,” kata pemerhati bola sepak negara, Zakaria Rahim.
Jelasnya, jika ada pemain yang hadir ke Doha dengan mentaliti hanya untuk bermain tiga perlawanan, jujurnya mereka tak perlu berada dalam pasukan di Doha.
“Semua pemain juga mulai hari ini harus merasakan setiap seorang daripada mereka adalah pemain utama dan penting dalam pasukan,” katanya.
Sejak mula dilantik sebagai ketua jurulatih pada awal 2022, Kim Pan-gon telah menghidupkan semula harapan untuk mencipta sejarah baharu apabila mula menyerlahkan taring sebenar dan dilihat berupaya untuk bersaing dengan pasukan di ranking 100 terbaik dunia.
Cumanya, pemain negara harus buang sikap leka seperti yang pernah menjerat Harimau Malaya ketika tewas 0-2 kepada Tajikistan di final Pestabola Merdeka, Oktober lalu.
Sementara itu, penyerang negara, Darren Lok menegaskan istilah percutian langsung tidak pernah wujud dalam diri 26 pemain yang membawa cabaran negara di Piala Asia kali ini.
“Saingan sukar kerana setiap pasukan yang hadir ke pertandingan ini memiliki kekuatan. Tetapi seperti yang saya katakan, kami mampu lakukan tugas dengan baik.
“Kami cuba menikmati pertandingan ini dan buktikan yang kami sebenarnya memang berhak untuk berada di sini. Semua orang sudah pun bersedia,” jelasnya.
Harimau Malaya dijadualkan memulakan saingan Kumpulan E bertemu Jordan pada 16 Januari ini diikuti Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).















