DUNGUN – Biarpun sudah 16 tahun berlalu, Suraya Ahmad percaya anaknya, Sharlinie Mohd. Nashar yang hilang ketika berusia empat tahun di Taman Medan, Petaling Jaya pada 2008 masih hidup dan berharap dapat berjumpa semula.
Suraya, 44, berkata, kerinduan terhadap anak ketiga daripada empat beradik itu tidak pernah pudar, malah naluri keibuan semakin terusik dan membuatnya hiba setiap kali ketibaan bulan Januari.
Pekerja kedai makan itu memberitahu, kehilangan Sharlinie yang mesra dipanggil Nini pada 9 Januari 2008 merupakan detik hitam bagi keluarganya yang ketika itu menetap di Taman Medan, Petaling Jaya.
“Saya tidak lekang berdoa setiap kali selepas bersolat agar Nini akhirnya akan kembali ke pangkuan keluarga.
“Setiap kali bersolat, saya akan berdoa agar dilembutkan hati orang yang mengambil Nini dan juga hati anak saya agar sentiasa mengingati ibu dan keluarga.
“Saya yakin anak saya itu masih hidup dan harap sangat semoga ada rezeki kami dapat disatukan semula suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai makan di Kampung Padang Pulut, Dungun baru-baru ini.
Pada Januari 2008, kanak-kanak itu dilaporkan hilang ketika bermain bersama kakaknya yang ketika itu berusia tujuh tahun di taman permainan iaitu hanya kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan.
Kehilangan Sharlinie dipercayai diculik.
Sejak dilaporkan hilang, pasukan polis melancarkan gerakan besar-besaran mencari Sharlinie termasuk operasi dari rumah ke rumah dan setiap premis di Lembah Klang terutama di kawasan Petaling Jaya.
Jika ditemui hari ini, Sharlinie telah berusia 20 tahun.
Sementara itu, datuk Nini, Mat Hussain Awang Kecik, 76, berkata, dia masih menaruh harapan agar cucunya yang hilang tersebut akan pulang sebelum menutup mata.
Katanya, pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan untuk menjejak Nini, namun masih belum diizinkah Allah setakat ini.
“Anak saya, Mohd. Nashar juga pernah sampai ke Indonesia untuk mencari anaknya (Nini) namun tidak berjaya,” ujarnya.














