fbpx

Tiga kenderaan terbabas, seorang maut rempuh lembu berkeliaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG operator kilang maut selepas merempuh dua ekor lembu berkeliaran di Lebuh AMJ - Kandang, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Tiga buah kenderaan terbabas dengan seorang penunggang motosikal maut di lokasi selepas merempuh dua ekor lembu yang berkeliaran di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Kandang dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, mangsa, Muhammad Hafizudin Rosli, 27, yang bekerja sebagai operator kilang meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Dua lagi mangsa masing-masing seorang wanita berusia 26 yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV dan lelaki 27 tahun memandu Honda Stream bagaimanapun terselamat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian kesemua kenderaan terlibat dalam perjalanan dari arah Semabok menghala ke Tiang Dua.

Katanya, setiba di lokasi kereta SUV dipandu wanita berkenaan telah merempuh dua ekor lembu yang sedang melintas.

“Sebuah kereta jenis Honda Stream yang berada di belakang SUV gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan itu.

“Kemudian datang Muhammad Hafizudin yang menunggang Yamaha 135LC melanggar lembu yang telah terbaring di atas jalan raya, menyebabkannya tercampak di atas pembahagi jalan dan meninggal dunia di lokasi,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kedua-dua ekor ternakan itu turut ditemui mati di lokasi.

“Setakat ini tiada saksi bebas yang tampil memberi keterangan lanjut berkaitan kejadian dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca kemalangan.

“Siasatan pegawai penyiasat mendapati ketika nahas berlaku keadaan permukaan jalan sedikit basah dan kurang pencahayaan,” ujarnya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI