fbpx

Papagomo mengaku tidak bersalah kait kerajaan pro-Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Muhammad Azri atau Papagomo (kameja putih) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. -Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Penulis blog Papagomo didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut dengan mengaitkan kerajaan sekarang pro kepada Israel dan negara barat.

Bagaimanapun Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azri didakwa telah menyebut kata-kata menghasut (mengaitkan kerajaan sekarang pro kepada Israel dan negara barat) dalam laman sosial Facebook milik seorang individu pukul 1 tengahari pada 8 November 2023.

Kata-kata menghasut itu kemudian dilihat oleh seorang lagi individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin Bukit Bintang di sini.

Berikutan itu kesalahan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu satu perintah tegahan (gag order) tertuduh tidak dibenarkan mengulas mengenai pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Papagomo memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan lima anak selain pendapatan tertuduh hanya berasaskan kerja dalam talian.

“Sepanjang siasatan dijalankan, tertuduh telah memberi kerjasama yang baik dan hari ini tertuduh sendiri ke mahkamah (bagi menghadapi pendakwaan),” kata peguam itu.

Sementara itu berhubung dengan perintah “gag order”, peguam itu berhujah mahkamah tidak perlu mengeluarkan perintah itu kerana ia adalah hak kebebasan bersuara.

Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua belah pihak, Hakim Priscilla kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan tidak meletakkan sebarang syarat tambahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Februari ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI