fbpx

TH lahirkan generasi celik Al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMED AMEEN (tengah, berbaju hijau) meraikan pemenang Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan 2023 di Menara TH Jalan Tun Razak, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini menganjurkan Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan di Dewan Besar TH, Menara TH Jalan Tun Razak yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi TH. 

Sebagai kesinambungan daripada tahun sebelumnya, Musabaqah Cilik TaHa diteruskan dengan objektif utama membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kalangan pelajar sekolah dan melahirkan generasi yang cintakan Al-Quran. 

Program itu khusus buat pendeposit TH yang merupakan ahli-ahli Kelab TaHa untuk menunjukkan potensi dan bakat mereka mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran.

Muhammad Aqeef mengalunkan bacaan surah Al Hijr yang melayakkannya menjadi Johan Qari Musabaqah Cilik TaHa.

TH dalam satu kenyataan berkata, Musabaqah Cilik TaHa 2023 telah dilaksanakan di setiap negeri seluruh Malaysia sejak September lalu dan sambutan daripada pelajar sekolah dan guru-guru amat memberangsangkan dengan lebih 1,000 penyertaan diterima. 

Johan Qari dan Qariah peringkat negeri seluruh Malaysia kemudiannya bertanding di peringkat Wilayah untuk mewakili wilayah masing-masing ke peringkat Kebangsaan. 

Wakil Wilayah Sabah/Sarawak, Nur Qiesya Zhafirah mengalunkan bacaan dari surah Ali Imran.

Johan Qari dan Qariah dari Wilayah Utara, Wilayah Tengah, Wilayah Selatan, Wilayah Timur dan Sabah serta Sarawak seterusnya bertemu di peringkat Kebangsaan untuk merebut gelaran Johan Kebangsaaan Qari dan Qariah Musabaqah Cilik TaHa 2023. 

Majlis Musabaqah Cilik TaHa peringkat kebangsaan telah disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Operasi TH, Tuan Haji Mohamed Ameen Abdul Wahab dan turut dihadiri oleh Pengarah TH Wilayah dan Negeri, ibu bapa peserta serta guru-guru.

Muhammad Aqeef mucul Johan Qari Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan 2023.

Menurut Mohamed Ameen, penganjuran pertandingan seperti ini menerusi Kelab TaHa merupakan inisiatif TH untuk memartabatkan Al-Quran dalam diri pelajar sekolah, selain usaha untuk mendekati pendeposit muda serta merupakan satu lagi kelebihan menyimpan di TH.

“TH melalui program ini yakin bahawa platform ini dapat menarik minat pelajar-pelajar sekolah untuk menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mewakili negara di persada antarabangsa, insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan. 

Johan Qariah, Nur Qiesya Zhafirah menerima hadiah RM1,000 dan cenderahati Kelab TaHa yang disampaikan Mohamed Ameen.

Dalam Majlis Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan tahun 2023, adik Muhammad Aqeef Ahmad Zuhdi yang mewakili Wilayah Utara telah dinobatkan sebagai Johan Qari manakala wakil Wilayah Sabah/Sarawak, adik Nur Qiesya Zhafirah Mohammad Ramdan dinobatkan sebagai Johan Qariah. 

Kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan barangan cenderahati Kelab TaHa. 

Menurut TH, pihaknya menerusi Kelab TaHa berhasrat untuk meneruskan program seperti ini pada tahun-tahun yang akan datang dan merancang supaya penganjurannya diluaskan untuk turut meliputi pelajar sekolah menengah. 

Barisan Panel Hakim yang terdiri daripada (dari kiri) Johan Tilawah Antarabangsa 2019, Ustazah Nor Farhatul Fairuzah Panut; Ketua Pemerkasaan Sahsiah dan Psikologi TH, Ustaz Shahrul Azam Noor Zeli; dan Penolong Pengurus Hal Ehwal Islam TH, Ustaz Muhammad Fairuz Sapiyan.

“Kami juga akan terus menganjurkan program dan aktiviti-aktiviti lain yang bermanfaat untuk ahli-ahli Kelab TaHa dari masa ke masa dalam usaha membantu semua pihak bagi membentuk generasi muda yang bersahsiah tinggi dan cemerlang dalam pelbagai aspek,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI