fbpx

Banjir: Peperiksaan SPM di Johor tidak tangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORLIZAH ketika melakukan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi, Kota Tinggi.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor tidak bercadang untuk menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi negeri ini, susulan banjir yang melanda beberapa kawasan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, peperiksaan SPM akan berjalan seperti biasa di negeri ini bermula esok.

“Kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah bekerjasama dalam menetapkan ‘Ops Payung’ sekiranya berlaku bencana banjir sewaktu musim peperiksaan.

“Sekiranya hanya pusat peperiksaan sahaja yang terlibat banjir, calon akan disediakan tempat penginapan di sekolah dan
penempatan di kediaman keluarga yang mempunyai akses terdekat ke sekolah.

“Makan dan minum akan disediakan dan pihak sekolah juga bertanggungjawab ke atas kebajikan calon dan petugas peperiksaan,” katanya kepada pemberita.

Norlizah memberitahu, JPNJ bersedia bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membantu membawa calon sekiranya banjir berlaku di jalan menuju ke pusat peperiksaan.

Katanya, kebebasan berpakaian diberikan kepada calon semasa peperiksaan dijalankan dan sekolah bertanggungjawab menyediakan peralatan menjawab kepada calon yang terlibat dengan banjir.

“Sekiranya pusat peperiksaan, jalan menuju ke pusat peperiksaan dan persekitarannya banjir, calon diberikan penangguhan oleh Pengarah Peperiksaan, manakala tarikh menduduki Peperiksaan SPM kali kedua akan ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan,” ujarnya.

Seramai 48,276 pelajar di Johor dijangka akan menduduki peperiksaan SPM tahun 2023 di 364 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini.

Peperiksaan SPM akan bermula hari ini hingga 11 Januari ini bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu; 17 hingga 23 Januari (Ujian Bertutur Bahasa Inggeris); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Melayu); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Inggeris) dan 30 Januari hingga 7 Mac (Peperiksaan Bertulis). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI