fbpx

Lelaki menyamar jadi polis buat rondaan malam tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek berusia 27 tahun gagal menunjukkan kad kuasa ketika ditahan.

AMPANG – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki menyamar sebagai anggota dengan memakai ‘vest’ tertera tulisan ‘Polis’ berwarna hijau di Jalan Pandan Cahaya 2/3 Pandan Cahaya, di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya ketika Op Khas Cegah Jenayah Ambang Tahun Baru pada pukul 1.45 pagi.

Katanya, suspek yang menunggang motosikal ketika itu bagaimanapun gagal menunjukkan kad kuasa polis selain memberikan alasan yang tidak munasabah.

“Kita juga merampas sebuah motosikal, satu anak kunci, sehelai vest tertera tulisan “Polis” dan sekeping kad pengenalan.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek berusia 27 tahun itu adalah negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Azam, suspek yang bekerja sebagai buruh binaan berkenaan direman empat hari dan tempoh tahanan tamat esok.

“Kes disiasat bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan merujuk kepada menyamar penjawat awam dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki secara haram peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan menyamar sebagai penjawat awam dan memiliki peralatan polis secara haram,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI