fbpx

Koperal cedera dirempuh Myvi dinaiki warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Koperal patah tapak tangan akibat dirempuh kereta Perodua Myvi merah dinaiki warga asing.

PETALING JAYA – Seorang koperal polis patah tapak tangan setelah dilanggar kereta Perodua Myvi merah yang dinaiki oleh dua lelaki warga asing ketika sekatan jalan raya dijalankan, di sini, semalam.

Difahamkan, kereta berkenaan memecut laju secara tiba-tiba di susur keluar Damansara Jaya ke Lebuh Raya SPRINT sebelum merempuh anggota.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abd Hamid berkata, anggota terbabit patah tapak tangan kanan akibat pelanggaran berkenaan.

“Sebuah unit kereta peronda (MPV) telah mengejar kereta itu sejauh dua kilometer sehingga suspek terbabas dengan sendiri di Seksyen 17/50 Petaling Jaya.

“Kedua-dua suspek warga asing berusia 35 dan 45 tahun berjaya ditahan oleh anggota MPV di tempat kejadian.

“Susulan itu, kita merampas mata wang asing bernilai RM9,839.85 serta beberapa peralatan pecah rumah seperti gerudi tangan, tukul, gunting, pemutar skru dan gergaji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua suspek warga asing ditahan selepas merempuh anggota bertugas ketika sekatan jalan raya.

Mengulas lanjut mengenai keadaan anggotanya, beliau memaklumkan koperal berusia 35 tahun itu mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

“Suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga Isnin depan sementara kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 (i) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah atau individu mencurigakan, boleh menghubungi Balai Polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di 03- 79662222,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI