fbpx

Gangguan air Besut: Pembaikan paip pecah siap 20 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hanafiah (kiri) meninjau lokasi paip pecah di Jambatan Kampung Lampu, Besut semalam.

KUALA TERENGGANU – Hampir 13,000 pengguna di Bukit Keluang, Besut yang terjejas dengan gangguan bekalan air nampaknya perlu bersabar mengangkut air sehingga dua minggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja pembaikan paip yang pecah di dasar Sungai Besut baru-baru ini dijangka siap sepenuhnya pada 20 Januari depan.

Beliau berkata, buat masa ini, reka bentuk kerja-kerja pembaikan paip yang terletak berhampiran Jambatan Kampung Lampu berkenaan sedang disiapkan panel perunding Syarikat Air Terengganu (Satu).

“Kerja-kerja pembaikan tersebut akan menggunakan paip HDPE (high-density polyethylene) bersaiz 450 milimeter (mm) sepanjang 700 meter.

“Kos pembaikan menelan belanja RM600,000. Ia sebenarnya penyelesaian jangka pendek bagi memulihkan gangguan air luar jangka yang sedang berlaku di kawasan Bukit Keluang tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan sebanyak 2,670 keluarga di Bukit Keluang mengalami gangguan bekalan air sehingga 21 hari ekoran kebocoran paip di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu di sini membabitkan 11 penempatan di kawasan terjejas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI